Berita

Ribuan sertai himpunan Selamatkan Malaysia

Ribuan hadir ke perhimpunan Selamatkan Malaysia di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka berhubung keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi. 

Mereka berkumpul di Masjid Kampung Baru selepas solat Zohor dengan berpakaian baju putih sambil membawa plakad “Dakwa Zahid”. 

Kumpulan itu kemudiannya berarak ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi. 

Laporan polis akan dibuat oleh Sekretariat Selamatkan Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Antara aktivis yang hadir termasuk Badrul Hisham Shaharin yang dibebaskan selepas ditahan beberapa hari lalu untuk diambil keterangan, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris dan Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid. 

Terdahulu Tun Faisal dalam ucapannya berkata tiada perhimpunan diadakan. 

“Kita hendak menyuarakan hasrat hati yang dijamin Perlembagaan, bahawa ada benda yang tak kena apabila Zahid diberikan DNAA. 

“Sebelum pilihan raya janji nak penjarakan Zahid, bukan bawa ke Putrajaya.” Lapor Malaysia Now

Salinan laporan polis

LAPORAN POLIS

Saya, TUN FAISAL ISMAIL BIN AZIZ, yang beralamat di…. 62250 PUTRAJAYA, WILAYAH PERSEKUTUAN, PUTRAJAYA membuat laporan polis di sini untuk memohon siasatan pihak berkuasa yang berwajib mengenai perkara yang saya akan nyatakan dibawah ini.

Pada tahun 2018, Dato Seri Zahid Hamidi (DSZH), kini Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dipertuduhkan dengan 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi.

Pada 23 Januari 2022, selepas 99 saksi pendakwaan dipanggil hampir sejumlah 53 hari perbicaraan dan pihak pendakwaan serta pembelaan memfailkan hujahan masing-masing, Yang Arif Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah telah mendapati bahawa pihak Pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap DSZH dan beliau dipanggil membela diri.

Pihak Pendakwaan bagi perbicaraan di kes Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya kanan, Dato Raja Rozela Raja Toran.

Pada 13.04.2022, DSZH mula membela diri dan bermulalah kes Pembelaan dimana setakat pada masa kini sebanyak 15 saksi pembelaan telah dipanggil termasuk DSZH sendiri.

Apabila DSZH mula dituduh pada 2018 sehingga dipanggil membela diri pada Januari 2022, Malaysia telah mempunyai 3 orang Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamad, Tan Sri Mahiaddin Yaasin dan Dato Seri Ismail Sabri. Pada masa ketiga-tiga Perdana Menteri ini kes terhadap DSZH berjalan seperti biasa dan tiada apa-apa tindakan diambil dalam kes ini oleh Pendakwaan yang menimbulkan apa-apa syak campur tangan pihak Eksekutif/ Kerajaan dalam proses undang-undang Negara atau Pendakwa Raya.

Selepas keputusan PRU-15, PM ke 10 DS Anwar Ibrahim dilantik dan DSZH dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Desa dan Wilayah. Umum mengetahui bahawa perhubungan “Cikgu-Anak Murid” antara DSAI dan DSZH , maka isu integriti dan tatakelola mula dibangkitkan pelbagai pihak dan menjadi ulasan ramai.

Pada Disember 2022 selepas dilantik sebagai TPM , peguambela DSZH menghantar Representasi bahawa DSZH menjadi mangsa pendakwaan politik . Mulai masa itu DSAI pada setiap ketika berpeluang dihadapan media ataupun dalam mana-mana program Kerajaan akan menyatakan DSZH adalah tidak bersalah sehingga ditentukan Mahkamah.

Pada setiap ketika juga umum mengetahui bahawa DSZH selaku Presiden UMNO membawa sokongan 30 Ahli Dewan Rakyat menyokong DSAI selaku Perdana Menteri. Maka, hubungan akrab antara kedua-dua DSAI dan DSZH adalah perlu untuk laba politik masing-masing dan lebih penting lagi supaya DSZH tidak ke Penjara.

Pada 8.8.2023 pihak Peguam Negara ( yang sama semenjak PM 8 dan PM9 serta dilanjutkan kontrak oleh PM10) telah menyatakan bahawa Ketua Pasukan Pendakwaan Datuk Raja Rozela Raja Toran telah membuat permohonan sara awal pada 3 April 2023 dan berkuatkuasa 1 November 2023. Tempat beliau digantikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.

Perkara ini mengundang pelbagai reaksi Dato Raja Rozela Raja Toran merupakan seorang Timbalan Pendakwa Raya yang berpengalaman dan telah mengemudi pasukan Pendakwaan dengan amat baik. Penggantian beliau mengundang tanda tanya lebih-lebih lagi kes Pembelaan DSZH belum selesai dan apabila Dato Raja Rozela menyatakan pada Media : “…saya adalah penjawat awam….saya tidak dibenarkan untuk memberi komen.Minta maaf.”

Pada Ogos 2023, DSZH dan Peguambelanya memohon keputusan cepat ke atas Representasi yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

Kemudiannya selepas itu pada 4 September 2023, Datuk Dusuki Mokhtar telah hadir ke Mahkamah dan memohon agar DSZH dilepaskan tanpa dibebaskan dari kesemua 47 pertuduhan berkaitan kes Yayasan Akal Budi.

Peguam Negara yang sama teruskan bicara dan tidak memberhentikan prosiding selama bermula Mac 2020 tiba-tiba apabila prima facie dibuktikan dan Pembelaan sedang diberikan buat keputusan menarik balik kesemua pertuduhan .

Permohonan untuk DSZH dilepaskan tanpa dibebaskan adalah pada 4 September 2023 apabila Peguam Negara sedang bercuti sebelum diganti Peguam Negara baru pilihan DSAI pada 6 September 2023.

Semasa memohon pelepasan tanpa pembebasan , sejurus selepas itu Peguam Negara baru memberi 11 alasan mengapa kes DSZH disyorkan sebegitu rupa dan komitmen Peguam Negara baru dilantik oleh DSAI adalah untuk siasatan lanjut samada pertuduhan adalah tepat dan perlu diteruskan.

Pada 13 September 2023 semasa di Singapura , DSAI semasa menjawab soalan di program ” A Conversation with Prime Minister of Malaysia , H.E Dato’ Seri Anwar Ibrahim” telah menyatakan kes DSZH dimaklum oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun mempunyai elemen-elemen pendakwaan terpilih.

Ini seolah-olah ada campurtangan DSAI selaku Perdana Menteri dalam kes membabitkan Timbalannya serta juga ketua parti yang membawa 30 Ahli Dewan Rakyat yang menyokong meletakkan DSAI sebagai Perdana Menteri.
Ia juga menunjukkan seolah-olah DSAI telahpun mendahului Peguam Negara dan SPRM kedua-duanya bawah bidangkuasa Eksekutif dalam memutuskan bahawa DSZH tidak harus dituduh semula.

Saya memohon satu siasatan penuh dilakukan. Saya memohon saksi-saksi penting dipanggil iaitu Dato Raja Rozela Raja Toran,Tan Sri Idrus Harun, Datuk Dusuki Mokhtar , ahli-ahli pasukan pendakwaan agar pihak PDRM dapat menyiasat perkara ini sebenar-benarnya. Siasatan juga perlu dilakukan ke atas SPRM serta pemeriksaan ke atas Kertas Siasatan utama DSZH .

Saya percaya siasatan juga perlu dilakukan ke atas rakaman perbualan telefon ” Cikgu &Anak Murid” yang tular antara dua individu yang rata-rata Rakyat telah nyatakan sebagai DSAI dan DSZH mengenai komplot yang telah lama dirancang mereka berdua.

Saya percaya bahawa apa yang berlaku pada 4 September 2023 adalah wujudnya campur tangan DSAI selalu ketua Eksekutif dalam melantik Peguam Negara baru untuk membenarkan DSZH Timbalannya dilepaskan dari pertuduhan-pertudahan agar DSZH terus menyokong DSAI sebagai Perdana Menteri.Sebagai balasan, DSAI pula memastikan kes-kes DSZH selesai dengan mengguna kuasa beliau keatas Peguam Negara.

Saya juga percaya terdapat elemen-elemen salah guna kuasa oleh kedua-dua DSAI dan DSZH dalam perkara ini yang tidak boleh disiasat oleh SPRM kerana Kertas Siasatan ada kemungkinan akan diganggu oleh SPRM yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Saya mohon siasatan secara telus berdasarkan kedaulatan undang-undang semoga undang-undang negara tidak dirosakkan oleh individu-individu berkuasa.

(Visited 1,000 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button