fbpx
BeritaNasional

PDRM umum 12 pertukaran pegawai kanan

TIMBALAN Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass adalah antara 12 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, semua pertukaran itu berkuat kuasa pada 4 Mac ini.

Mendahului senarai ialah Zaini yang bakal memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat Pesuruhjaya Polis (CP) dan tempat beliau diambil alih oleh Setiausaha Polis Malaysia, Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Mazli Mazlan.

Pertukaran lain melibatkan Timbalan Pengarah 1 Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan yang bakal menjadi Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat CP.

Ketua Perhubungan Antarabangsa, Urusetia KPN (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Goh Boon Keng pula akan menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP).


Arahan pertukaran itu turut menyaksikan Ketua Polis Daerah Sepang, Selangor iaitu Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abdul Aziz Ali bertugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik), Johor.

Ketua Polis Daerah Muallim, Perak Superintenden Kamarul Azran Wan Yusof pula akan menggantikan Abdul Aziz sebagai Ketua Polis Daerah Sepang, Selangor dengan memangku pangkat ACP.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button