Ekonomi

Respons lanjutan moratorium belum seperti yang diharapkan.

Respons bagi lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik pembiayaan bank yang diterima masih belum seperti yang diharapkan.

Menurut, Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah, kebanyakan bank telah melaksanakan program lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik pembiayaan mulai 7 Ogos yang lalu.

Katanya, kesebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu telah diterima dan
sebanyak 109,172 daripadanya telah mendapat kelulusan.

Bagi pelanggan PKS termasuk usahawan mikro pula, sebanyak 5,017 permohonan diterima dan 4,300 daripadanya telah mendapat kelulusan.

“Hasil pertemuan saya dengan wakil-wakil bank tempoh hari, saya dimaklumkan bahawa bank-bank sudah bersedia untuk memberi bantuan dan memproses permohonan orang ramai, walau bagaimanapun, respons
yang diterima masih belum seperti yang diharapkan.

“Saya bimbang sekiranya orang ramai dan PKS menunggu sehingga ke saat akhir untuk memulakan rundingan dan memohon bantuan bayaran balik pembiayaan daripada bank,” kata Mohd Shahar.

Beliau mengingatkan orang ramai dan PKS bahawa tarikh berakhirnya moratorium secara automatik berbaki 29 hari sahaja lagi.

Jelas beliau, pihak bank memerlukan masa untuk memproses permohonan bantuan bayaran balik pembiayaan yang dikemukakan.

Secara umumnya satu hingga lima hari untuk memproses permohonan pelanggan individu dan tiga hari hingga 2 minggu untuk permohonan PKS.

“Saya menggesa orang ramai untuk segera memberi maklum balas atau pergi ke bank masing-masing untuk mengesahkan pakej bantuan bayaran balik pembiayaan yang ditawarkan.

“Ini penting terutamanya bagi peminjam yang masih memerlukan bantuan pasca moratorium, untuk mengelakkan rekod kredit menjadi buruk selepas September 2020,” kata Mohd Shahar.

Beliau juga menasihatkan orang ramai tidak perlu bimbang dengan permohonan moratorium  kerana fleksibiliti diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan keluar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan bantuan pembayaran balik pembiayaan merangkumi, antaranya:
lanjutan moratorium pembiayaan selama tiga bulan bagi pelanggan individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan.

Pengurangan ansuran pembiayaan yang sepadan dengan pengurangan gaji pelanggan individu yang terjejas akibat COVID-19 selama sekurangkurangnya enam bulan, bergantung kepada jenis pembiayaan.

Pembayaran faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan; pemanjangan tempoh keseluruhan pembiayaan bagi mengurangkan bayaran balik bulanan; ataupun pelepasan lain yang sesuaian, bagi
pelanggan individu dan PKS yang turut terkesan akibat Covid-19.-SM

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button