Ekonomi

Cadangan penempatan persendirian CGB diluluskan Bursa Securities

 

KUALA LUMPUR, 23 April – Cadangan Central Global Berhad (CGB) bagi penempatan persendirian sehingga 18 juta saham biasa baru telah mendapat kelulusan dari Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities).

CGB dalam kenyataannya berkata, surat dari Bursa Securities bertarikh 22 April 2021 telah diterima oleh TA Securities Holdings Berhad (TA Securities), yang merupakan penasihat dan agen penempatan untuk CGB, memaklumkan bahawa kelulusan penyenaraian dan sebut harga untuk sehingga 18 juta saham biasa baru akan diterbitkan berdasarkan kepada cadangan penempatan persendirian.

Bagaimanapun CGB perlu mematuhi beberapa perkara iaitu cadangan penempatan persendirian bergantung kepada pematuhan sepenuhnya CGB dan TA Securities dan yang berkaitan di bawah Keperluan Penyenaraian Papan Utama untuk cadangan penempatan persendirian.

Selain itu CGB dan TA Securities perlu memaklumkan Bursa Securities apabila selesai cadangan penempatan persendirian selain CGB perlu memberikan Bursa Securities pengesahan bertulis mengenai pematuhan kumpulan terhadap terma dan syarat kelulusan apabila cadangan penempatan persendirian selesai.


Sekiranya cadangan penempatan persendirian itu tidak diselesaikan sebelum mesyuarat agung tahunan akan datang, CGB perlu mengesahkan salinan resolusi dan diserahkan kepada para pemegang saham bagi mendapat mandat am di bawah Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016 pada mesyuarat agung tahunan kumpulan akan datang.

Pengerusi Eksekutif CGB, Datuk Faisal Zelman berkata pihaknya gembira kerana mendapat kelulusan sebagaimana yang dirancang untuk mengembangkan lagi perniagaan pembinaan dan pembuatan.

“Kami memerlukan mesin baru yang lebih cekap dan menjimatkan kos bagi operasi pembuatan dan akan menggunakan sebahagian perolehan untuk membiayai projek pembinaan di Pulau Pinang.”

“Sebagaimana yang kami rancangkan untuk kedua-dua perniagaan pembuatan dan pembinaan, kami akan memperuntukkan sebahagian daripada perolehan bagi kegunaan akan datang dan juga sebahagiannya sebagai keperluan modal kerja.” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

CGB merupakan pengeluar khusus untuk pita industri dan stok label serta pelopor pembuatan pita pelekat bersuhu tinggi selain pembekal penyelesaian sehenti untuk crepe paper masking.

Perniagaan lain bagi kumpulan ialah pembinaan di mana baru-baru ini telah dianugerahkan sub kontrak bernilai RM100.54 juta untuk menaik taraf infrastruktur bekalan air di Lahad Datu Sabah.

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button