Politik

Iktiraf khidmat Hasbullah, DAP gesa Parlimen Gerik kekal milik UMNO

KERUSI Parlimen Gerik yang kosong berikutan kematiannya penyandangnya Datuk Hasbullah Osman harus kekal dimiliki oleh parti UMNO.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pengekalan kerusi itu kepada UMNO sebagai tanda pengiktirafan terhadap khidmat bakti yang dicurahkan Hasbullah di Parlimen itu.

Selain itu, Guan Eng berkata pilihan raya kecil perlu dielakkan berikutan penularan COVID-19 dan seharusnya tidak perlu ada pertandingan dalam pilihan raya kecil untuk melawan UMNO nanti.

“Sebagai pengiktirafan khidmat beliau dan bahawa Malaysia berada dalam gelombang ketiga jangkitan COVID-19 yang teruk, seharusnya tidak ada pertandingan dalam pilihan raya kecil oleh parti-parti untuk melawan UMNO.

“Keselamatan awam harus didahulukan dan menjadi keutamaan berbanding politik dan pilihan raya,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.

Guan Eng berkata, pilihan raya kecil boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam ketika Malaysia berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan Covid-19.

Tegas beliau, orang ramai tidak dapat melupakan lonjakan jangkitan Covid-19 setelah Sabah terpaksa mengadakan pilihan raya negeri pada September lalu.

Hasbullah, 63 meninggal dunia di Raub, Pahang semalam akibat sakit jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham yang merupakan anggota UMNO dan Barisan Nasional memenangi kerusi Parlimen Gerik dengan undian majoriti sebanyak 5,528.

Pada 8 Oktober lalu Barisan Nasional (BN) turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi berikutan kematian penyandangnya dari parti Warisan, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri berkenaan.

“BN mengambil keputusan untuk tidak menyertai PRK Parlimen Batu Sapi. Keputusan ini dibuat kerana BN merasakan Covid-19 hendaklah dielakkan dari menular, sekiranya PRK diadakan sebagaimana dialami sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

“Pada hemat BN, kesejahteraan dan kesihatan rakyat hendaklah menjadi keutamaan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen, Batu Sapi, Sabah.

Sementara  23 November pula ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon manakala 1 Disember sebagai tarikh mengundi awal.-SM

(Visited 314 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button