Politik

Pilihanraya umum selepas Covid-19 terkawal- Ahmad Zahid

UMNO telah membuat keputusan supaya pilihan raya umum bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat untuk membentuk kerajaan yang stabil hanya diadakan setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di tahap minimum.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keutamaan perlu diberikan kepada agenda rakyat kerana itu adalah dasar UMNO sebagai sebuah parti.

“Maka, semua anggota kabinet yang mewakili UMNO terus kekal dalam kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata,  UMNO kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan sebelum ini berhubung kepentingan gencatan politik dan Rekonsiliasi Nasional dalam berdepan dengan Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

UMNO kata beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu bagi memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan keluhuran undang-undang dan menghormati semangat yang termaktub dalam Perlembagaan  Persekutuan.

UMNO juga kata beliau turut memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada kerajaan, antaranya isu pelanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat COVID-19, bayaran khas kepada barisan hadapan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Lantaran itu, UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan.

Maka sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan UMNO dalam mendokong titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pendirian UMNO dalam perkara itu masih dipersoalkan, parti itu tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas demi menjaga kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kepentingan rakyat. – SM

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button