Politik

PRN Johor: Hanya untuk penuhi nafsu pemimpin UMNO

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menafikan politik Johor berada di dalam keadaan tidak stabil sehingga perlu diadakan pilihan raya negeri.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah kerana kerakusan bermain politik demi kuasa oleh UMNO Johor.

Bersatu, katanya, akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi minggu ini untuk memuktamadkan strategi menghadapi pilihanraya Johor.

“Sekarang bukan waktu yang terbaik untuk mengadakan pilihanraya. Tetapi UMNO Johor kelihatan rakus bermain politik demi kuasa, walaupun rakyat masih bergelumang dengan pandemik COVID-19 dan kesan bencana banjir.

“Politik Johor sedang stabil dan tidak bergolak. Tidak ada langsung sebab untuk diadakan pilihanraya, melainkan nafsu beberapa orang dalam UMNO.

“Saya berpandangan ini adalah usaha kluster mahkamah dan para pendokong mereka untuk terus mengalih perhatian daripada kes mahkamah yang sedang mereka hadapi, dan pada masa yang sama memperkukuh kedudukan kluster mahkamah itu sendiri.

“Mungkin kluster mahkamah semakin terdesak dan merasakan bahawa satu-satunya cara untuk lari dari penjara ialah dengan merobek pemisahan kuasa. Untuk merobek pemisahan kuasa yang dibina semula bersungguh-sungguh oleh Tan Sri Muhyiddin, mereka mesti cuba membolot kuasa dahulu. Saya tidak pelik jika Johor akan diikuti oleh negeri lain pula. Begitulah realiti orang terdesak yang rakus kuasa dan takut penjara,” katanya.

Beliau menekankan bahwa integriti sistem pentadbiran dan pemisahan antara institusi kehakiman dan badan eksekutif perlu dipertahankan.

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button