Politik

Ahmad Faizal ikhlas, Bersatu akan keluarkan kenyataan rasmi – Wan Saiful

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengeluarkan pandangan rasmi berhubung keputusan undi percaya yang tidak menyebelahi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu akan mengadakan perbincangan berkaitan perkara tersebut.

“Perkara ini insya-Allah akan dibincangkan oleh pimpinan Bersatu dan saya harap kita sama-sama tunggu pandangan rasmi parti nanti,” kata Wan Saiful.

Sementara itu beliau menegaskan Ahmad Faizal telah menunjukkan keikhlasan apabila menerima keputusan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan oleh ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abd Manaf Hashim.

Wan Saiful berkata, ucapan Ahmad Faizal sebelum sidang DUN Perak ditangguhkan yang tidak mahu memanjangkan isu politik di negeri Perak, menunjukkan beliau sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

“YAB Datuk Seri Faizal menunjukkan keikhlasan dan kepimpinan beliau apabila beliau berkata bahawa dalam waktu kita semua sedang menghadapi keadaan yang tidak menentu dari segi ekonomi dan kesihatan, permasalahan politik tidak perlu dipanjangkan.

“Pandangan sebegini jelas menunjukkan kesungguhan beliau menjaga kebajikan rakyat dan sikap beliau yang sentiasa meletakkan rakyat di hadapan,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Dalam usul yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 10 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bersetuju, 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali terhadap kedudukan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

Kedudukan Menteri Besar Perak memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 Adun sebagai majoriti mudah.

Ahmad Faizal sebelum itu berkata, beliau menerima keputusan DUN Perak dengan penuh reda.

Tegas beliau dalam waktu menghadapi keadaan yang tidak menentu, keadaan ekonomi, masalah pekerjaan dalam kalangan rakyat dan sebagainya masalah politik yidak perlu dipanjang.

Kerajaan Perikatan Nasional Perak mempunyai 32 Adun dengan UMNO merupakan parti terbesar sebanyak 25, diikuti PPBM (4), PAS (3).-SM

 

 

 

(Visited 361 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button