Bola SepakSukan

Rashford sanggup hulur wang kepada kanak-kanak miskin dari tingkap kereta

BINTANG Manchester United, Marcus Rashford pernah berasa amat terdesak untuk membantu kanak-kanak miskin dan tiada tempat tinggal sehingga dia sanggup menghulurkan wang tunai daripada keretanya bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Tonggak hadapan England itu menerima pujian dan pengiktirafan di atas usaha kerasnya sejak 12 bulan lalu bagi memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi membantu kanak-kanak yang kelaparan di United Kingdom.

Rashford, 23, juga berjaya mendesak Boris Johnson dengan memaksa Perdana Menteri itu dan Kerajaan membuat pusingan-U bagi menyediakan makanan percuma kepada kanak-kanak yang tidak berkemampuan.
Usahanya turut menarik perhatian Ratu Elizabeth dengan menyenaraikan nama Rashford sebagai penerima anugerah MBE bersempena ulang tahun kelahiran Ratu pada Oktober lalu.

Anak muda itu kemudiannya menerima anugerah khas pada majlis anugerah Personaliti Sukan BBC.
Bagaimanapun, bukan semua usaha kerasnya itu bagi membantu penduduk miskin diketahui umum.

Dalam satu temu bual bersama Majalah WSJ, abangnya Dwaine Maynard mendedahkan betapa baiknya budi pekerti bintang antarabangsa England itu.


Menerusi majalah tersebut, Rashford dilaporkan sentiasa menghulurkan wang tunai daripada tingkap keretanya kepada kanak-kanak atau gelandangan di sekitar Manchester.

Perbuatan itu hanya terhenti apabila Dwaine yang kini merupakan salah seorang ejen Rashford, menasihatkannya agar menghulurkan bantuan menerusi platform yang lebih kukuh.

Dia pernah memberitahu Rashford: “Tidak selamat sebenarnya untuk menghulurkan bantuan dengan cara menghentikan kereta.”

Artikel itu juga mendedahkan bagaimana Rashford mengekalkan disiplin diri sejak usianya masih muda sehingga membawa kepada pencapaiannya pada ketika ini.

Bintang bola sepak itu mendapat pendidikan awal di Button Lane Primary School di mana Simon Pyne pernah mengajarnya selama dua tahun.

Mengimbas kembali zaman kanak-kanak Rashford, Pyne berkata, sewaktu menyertai lawatan semalaman di Lake District, bintang Red Devils itu pernah meminta izinnya untuk menetapkan penggera awal sebelum matahari terbit.

Pyne memberitahu: “Jangan bimbang, guru-guru akan membangunkannya untuk sarapan pagi. Tetapi bukan sebab itu Rashford memintanya berbuat demikian kerana dia perlu bangun lebih awal berbanding orang lain.

“Rashford mahu menyempurnakan rutin yang dilakukannya pada setiap pagi dengan melakukan senaman tekan tubi sewaktu pelajar lain masih tidur.” – The Sun – SM

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button