Sukan

Misi mencabar Harimau Malaya di Oman

SKUAD bolasepak negara berdepan laluan mencabar berdepan pasukan ranking dunia ke-80, Oman, pada perlawanan ketiga Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Muscat, Khamis malam ini (Jumaat, 2 pagi waktu Malaysia).
Harimau Malaya yang kini mendahului Kumpuan D, berdapan misi mencabar bagi menpertahan pencapaian mengejutkan Kyrgyzstan 4-3 dan menewaskan Taiwan 1-0 tahun lepas.
Menang atau sekurang-kurangnya keputusan seri berdepan Oman, akan memastikan Malaysia kekal sebagai pendahulu Kumpulan D dengan berbaki tiga perlawanan.
Malaysia yang menghuni ranking ke-132, kini mengumpul enam mata diikuti Oman kedua yang berkongsi tiga mata bersama Kyrgyzstan di tempat ketiga, manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.
Oleh itu, satu mata di Muscat sudah cukup untuk memastikan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon kekal di landasan tepat, untuk mencipta sejarah baharu membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat julung kali.

Kemenangan juga akan meredakan tekanan dan meletakkan pasukan di kedudukan lebih selesa, apabila dijadual melayani kunjungan lawan sama di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 26 Mac ini.
Namun pertembungan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat, terlebih dahulu bakal memberikan cabaran hebat kepada anak buah Pan Gon, yang kekurangan minit perlawanan kompetitif berbanding barisan pemain Oman, selepas liga domestik hanya akan bermula Mei depan.
Malaysia juga menerima tamparan awal apabila berlepas ke Muscat tanpa ketua pasukan Matthew Davies dan Junior Eldstal susulan kecederaan, namun Pan Gon memiliki pilihan yang pelbagai bersama 24 pemain dalam skuad kali ini antaranya dibarisi 18 pemain skuad Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas.
Pan Gon turut menyenaraikan empat pemain utama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan iaitu dua pemain tengah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nooa Laine, serta dua pemain pertahanan Muhammad Azam Azmi Murad dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Berdasarkan rekod tiga pertemuan terakhir, Malaysia menang sekali selepas menewaskan Oman 2-0 pada kejohanan Pestabola Merdeka 2000, sebelum tumpas 0-3 dan 0-6 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di gelanggang lawan masing-masing pada 2010 dan 2015.
Aksi bertemu Malaysia kali ini menjadi tugasan pertama ketua jurulatih Oman yang baharu dari Republik Czech Jaroslav Silhavy, yang menggantikan Branko Ivankovic dari Croatia susulan prestasi kurang memuaskan pasukan pada kempen Piala Asia 2023.
Sebelum itu, pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Oman di bawah bimbingan Ivankovic bermula dengan cemerlang selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Taiwan, namun tewas mengejut 0-1 kepada Kyrgyzstan.
Pada Piala Asia 2023, Oman gagal meraih sebarang kemenangan selepas tewas kepada Arab Saudi 1-2, diikuti seri 0-0 dengan Thailand dan terikat 1-1 menentang Kyrgyzstan, sekali gus menamatkan saingan Kumpulan F di kedudukan ketiga dan gagal ke pusingan 16 terbaik.
(Visited 25 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button