fbpx
Bola SepakSukan

Syarat perjanjian telah dicapai, Liverpool yakin ikat Alcantara

LIVERPOOL terus dikaitkan dengan bintang antarabangsa Sepanyol, Thiago Alcantara dan kemas kini terbaru menunjukkan perkembangan positif buat Reds.

Menurut Nicolo Schira, kelab Merseysiders itu telahpun bersetuju berhubung terma yang diletakkan, dengan pemain tengah La Roja itu kini menggesa Bayern Munich agar menjualnya pada musim panas ini.

Wartawan yang dikenali ramai itu menerusi kicauan Twitter mendedahkan bahawa Liverpool yakin bahawa mereka akan dapat menandatangani bekas bintang Barcelona tersebut.

Seorang lagi pakar perpindahan bola sepak dari Itali, Fabrizio Romano turut mendakwa bahawa pemain berusia 29 tahun itu sememangnya mendesak untuk berpindah ke Anfield, kerana dia melihat Liverpool sebagai kelab impiannya.

Menerusi laporan di United Kingdom, kemas kini laporan mengenai Thiago juga hampir serupa, tetapi ada sedikit perbezaan pandangan.


Kaveh Solhekol melaporkan bahawa Thiago berminat bermain bersama juara Liga Perdana Inggeris itu di bawah teraju Jurgen Klopp.

Bagaimanapun, wartawan Sky Sports itu mendakwa kelab gergasi Eropah tersebut tidak berhasrat untuk menandatangani pemain tengah itu pada ketika ini, tetapi perkembangan terbaru nampaknya ada perubahan apabila pemain Sepanyol yang dinilai berharga 30 juta pound itu (RM164 juta) sedang dipertimbangkan.

Liverpool memiliki kualiti yang mencukupi di bahagian tengah. Majoriti bintang-bintangnya sentiasa bekerja keras, tetapi terdapat kelemahan dari segi kreativiti di posisi tersebut.

Sebagai contoh, Wijnaldum sering disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh Klopp, tetapi sejak dua musim lepas, bintang antarabangsa Belanda itu gagal untuk menawarkan bantuan dalam Liga Perdana Inggeris.

Dari segi jaringan pula, Alex Oxlade-Chamberlain merupakan pemain tengah yang meledakkan gol terbanyak penggal lalu, tetapi dia hanya menyumbat lapan gol daripada 43 penampilan.

Selain itu, Liverpool masih belum mendapat pengganti Philippe Coutinho, yang memiliki kreativiti mengagumkan di Anfield. Sejak musim panas lalu, Reds belum lagi melakukan perjanjian besar, walaupun selepas memenangi Liga Juara-Juara.

Dengan coronavirus yang kini melanda dunia, bukanlah satu kejutan seandainya Reds tidak melakukan sebarang perjanjian besar, walaupun selepas menjulang trofi Liga Perdana.

Namun begitu, untuk terus kekal di kedudukan teratas, Liverpool perlu meningkatkan kualiti skuad. – paisleygates.com – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button