Nasional

Raja Puan Muda Perlis nasihat rakyat Perlis patuhi SOP

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah menasihatkan seluruh rakyat Perlis agar sentiasa mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan walaupun negeri ini diisytiharkan sebagai satu-satunya kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Baginda juga mengajak rakyat Perlis supaya terus mengamalkan sikap berwaspada dan jangan sekali-kali alpa atau mengambil sikap acuh tidak acuh kerana selesa atas keadaan terkawal pandemik Covid-19 pada ketika ini.

Demikian titah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 25 orang warga asnaf terpilih di kalangan anak kariah Masjid Nurul Said di Kg. Santan, Perlis.

Keberangkatan tiba baginda diiringi sama anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Puteri Sharifah Farah Adriana disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Tuanku Raja Puan Muda lagi, “Walaupun tiada lagi penularan dalam komuniti, semua pihak perlu bersama-sama terus mematuhi SOP sepanjang masa demi kebaikan semua. Kita janganlah mementingkan diri sendiri dan disarankan supaya menggunakan pertimbangan yang sewajarnya dalam setiap tindakan yang diambil demi untuk keselamatan dan kesejahteraan diri sendiri, keluarga tersayang dan juga anggota masyarakat secara umumnya”.

(Visited 141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button