JenayahNasionalNegeri

17 PATI Myanmar, dua tekong ditahan di Felda Chuping

HARAPAN mengunung tinggi akhirnya berkecai. Bukan sahaja 17 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Mynmar gagal mencari rezeki di Malaysia malah dua tekong iaitu seorang lelaki rakyat tempatan dan seorang perempuan rakyat Thailand juga gagal menyeludup migran.

“Inilah kejayaan OP Taring Wawasan Kedah/Perlis yang melibatkan anggota Pasukan Gerakan AM (PGA) Batalion 2 Kulim dan gabungan Pos C 32 Tiger Platoon, POS M 7 Tiger Platoon, POS C 23 dan POS C 26 di sempadan Bukit Kayu Hitam- Thailand apabila menahan PATI dan tekong ini pada pukul 8.30 pagi, 14 Ogos,” kata Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi.

Antara barang rampasan ekoran penahanan 17 PATI dan dua tekong di kawasan kebun getah di Felda Chuping, Mata Ayer, Arau pagi semalam.

Ahmad Mohsin berkata, PATI ini dikesan ketika anggota sedang menjalankan tugas mengesan jejak aktiviti penyeludupan dan serang hendap di kawasan kebun getah Felda Chuping, Mata Ayer, Arau, Perlis.

Katanya, 14 PATI lelaki ini berumur 16 hingga 27 tahun manakala tiga perempuan pula berumur 28 hingga 42 tahun.

“Selang 20 minit, muncul pula sebuah kereta Perodua Myvi warna kelabu menghampiri lokasi tangkapan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Arau di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, telah berlaku adegan kejar mengejar antara anggota PGA dengan kereta tersebut kira-kira sejauh 300 meter sebelum menemui jalan mati.

“Pemandu warga tempatan dan penumpang hadapan warga Thai yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah seterusnya bertindak menyerah diri kepada pihak polis,” katanya.

Ahmad Mohsin Md Rodi

Ahmad Mohsin berkata, lelaki berkenaan yang berumur 32 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan ketum serta perempuan Thai pula berusia 32 tahun di mana kedua-duanya disahkan positif dadah jenis Methamphetamine itu disyaki tekong.

Beliau berkata, polis juga merampas 16 telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM550, 18,650 Kyat (Myanmar), 12,540 Bath (Thailand), sebuah beg jenama Gucci, gelang emas,
rantai leher emas, sebentuk cincin emas dan sebuah motokar jenis Perodua Myvi berwarna kelabu.

Katanya, kesemua PATI dan suspek direman mulai hari ini sehingga 28 Ogos ini.

Ahmad Mohsin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun, dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah.

Tambahnya, jika disabitkan kesalahan dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga bertanggungan kepada sebatan tidak lebih daripada enam sebatan. – SM

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button