Nasionalpilihan

JKDM rampas minuman keras, rokok, kereta bernilai RM5.84 juta

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan kereta mewah, minuman keras dan rokok bernilai RM5.84 juta dalam enam serbuan bulan lalu.

Pengarahnya, Nadzri Che Ani berkata, dalam serbuan tersebut tiga individu membabitkan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 50-an ditahan dalam tiga daripada enam serbuan yang dilakukan.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah premis kediaman di Semabok pada 2 Januari lalu kira-kira pukul 10.30 pagi, JKDM berjaya merampas minuman keras berjumlah 3,026.88 liter melibatkan cukai berjumlah
RM120,514.13.

Beliau berkata, pada 18 Januari pula sebuah lori jenis Nissan UD disita apabila hasil pemeriksaan telah memuatkan kotak-kotak berisi minuman keras yang tidak dibayar cukai dalam serbuan di sebuah kilang kitar semula di Klang, Selangor.

Katanya, rampasan itu membabitkan 2,905.44 liter minuman keras pelbagai jenama yang melibatkan cukai berjumlah RM174,627.35.

“Bahagian Penguatkuasan JKDM berjaya mematahkan penyeludupan sebuah kereta mewah jenis Porsche Panamera yang dipercayai diseludup dari negara jiran melibatkan cukai berjumlah RM286,000.

“Bertindak melalui maklumat risikan, kita berjaya mengesan kereta tersebut yang ditutup dengan kain dan disembunyikan di rumah kediaman berpagar di Jasin,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat JKDM Lebuh
Ayer Keroh di sini hari ini.

Nadzri berkata, dalam serbuan keempat di sebuah rumah kediaman di Bertam Ulu, Alor Gajah pada 24 Januari lalu, sebanyak 239,228 batang rokok pelbagai jenama disita melibatkan cukai berjumlah RM182,637.62.

Katanya, seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang berada di rumah berkenaan sewaktu serbuah dilakukan ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pembayaran cukai yang dibuat.

Beliau berkata, pada 28 Januari pula, JKDM berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok yang tidak dibayar cukai apabila berjaya menahan sebuah lori Mitsubishi Fuso yang memuatkan 2,780,00 batang rokok melibatkan cukai berjumlah RM2,225,300.

Katanya, lori berkenaan ditahan di Jalan Kluang-Kota Tinggi dan hasil pemeriksaan kotak-kotak berisi rokok seludup itu didapati tidak mempunyai setem cukai kastam.

“Pemandu lori berusia dalam lingkungan 50-an ditahan untuk siasatan lanjut selepas dia gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dagangan yang dibawa,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dalam serbuah terakhir di sebuah gudang di kawasan perindustrian Ulu Tiram, Johor Bahru pada 29 Januari lalu, sejumlah 3,810,000 batang rokok seludup melibatkan cukai RM2,849,880.

Katanya, kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – SM

(Visited 28 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button