AgamaNegeriRencah Hidup

Raja Muda Perlis rasmi Surau Ulul Albab SMSTSP

RAJA Muda PerliS, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Surau Ulul Albab di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) Behor Pulai, Kangar.

Surau ini telah dibina hasil daripada infaq Alumni sekolah, guru, staf, dan ibu bapa yang menelan belanja sebanyak RM1.2 juta.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah semasa Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMSTSP di Behor Pulai, Kangar.

Surau ini juga akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti keagamaan seperti kelas murajaah al-Quran, bengkel tahsin al-Quran, kelas menadah kitab, fikrah ilmu puteri, program usrah kumpulan dan beberapa program lain.

Keberangkatan Baginda adalah bersempena dengan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) yang dihadiri oleh 364 pelajar di Behor Pulai, Kangar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bergambar dengan guru dan pelajar semasa Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMSTSP di Behor Pulai, Kangar.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Pengetua SMSTSP, Julaila Yahya.

Menurut Julaila, pada tahun lepas, SMSTSP telah memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 iaitu 2.93.

Bermacam-macam inisiatif dan prakarsa telah dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan kecemerlangan akademik pada tahun ini demi kegemilangan berterusan.

Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan menunjukkan “mini love” apabila menerima sembah mengadap pelajar semasa Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMSTSP di Behor Pulai, Kangar.

Pada September lalu, pasukan ragbi sekolah ini memperoleh Naib Johan Plate dalam Lunas 10S Kebangsaan Kulim Kedah U16, 3rd place Grouping dalam Super School Super 16 Kebangsaan 2023, Naib Johan Plate dalam King Edward Kebangsaan 10S U15, Naib Johan Bowl dalam MSSM Kelantan U18 dan Johan Cup dalam Phuket International 7S U14.

Pasukan ragbi sentuh juga telah mengharumkan nama sekolah apabila mendapat tempat ke-3 Kejohanan Ragbi Langkawi Hawk Cup, 1st Runner Up Kejohanan Ragbi Sentuh SBP Tahun 2023 di Kajang, Selangor dan Johan Cup U15 dalam Kejohanan Ragbi Piala Pegawai Daerah Kubang Pasu Northern Girl Super Touch Rugby.

Semasa pertandingan tersebut, Nur Hani Maisarah Muhammad Fazli pelajar tingkatan 3 telah dinobatkan sebagai pemain terbaik.

Bagi pasukan Kriket pula SMSTSP juga muncul tempat ketiga dalam Kejohanan Kriket Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan.

Selain itu sekolah ini juga meraih platinum dalam Fully Residential School International Symposium (FRSIS) iaitu tempat kelima daripada 18 buah sekolah yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh Malaysia dan sekolah-sekolah dari negara India, Turkiye, Vietnam dan Indonesia.

Pasukan sekolah bersaing bawah tema Pendidikan di mana akan menjadi tuan rumah bagi simposium FRSIS tahun depan.

Selain itu, pasukan Bahas Bahasa Inggeris SMSTSP juga akan membawa nama Perlis ke peringkat kebangsaan pada pertengahan Oktober ini ke Sarawak dalam Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Piala Tan Sri Datuk Seri Panglima Doktor Abdul Rahman Arshad Peringkat Kebangsaan 2023.

Raja Muda dalam titah, “Murid yang cemerlang akan sentiasa menetapkan wawasan dalam kehidupannya, pelajar ini akan lebih teliti, kreatif dan inovatif serta proaktif dalam menyusun strategi serta membahagikan masa untuk melakukan sesuatu aktiviti seharian dengan cemerlang dan berkualiti”.

Baginda bertitah, murid yang cemerlang juga dapat dibezakan melalui cara berfikir, perasaan dan kehendak.

Titah Baginda, mereka bukan sahaja berusaha untuk memajukan diri sendiri malah amat komited untuk menyumbangkan tenaga membangunkan agama, bangsa dan negara.

“Pelajar perlu taat akan ibu bapa yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan nyawa yang tidak mengharapkan sebarang balasan namun tanggungjawab sebagai anak perlu digalas sebaik mungkin,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar sekolah ini akan terus melaksanakan pelbagai program akademik mahupun kokurikulum dan aktiviti luar kelas bagi melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang. – SM

(Visited 71 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button