Nasional

Raja Muda Perlis ajak rakyat sahut cabaran #Mypokokchallenge

Rakyat diajak supaya secara beramai-ramai menanam pokok dan seterusnya memuat naik ke sosial media masing-masing dengan hashtag #Mypokokchallenge bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang disambut baru-baru ini sebagai menyahut saranan ‘Kempen Penghijauan Bumi dan Penanaman Pokok’ oleh pihak kerajaan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke 27 bagi tahun 2020 yang diadakan di Masjid Kg Binjal, Utan Aji.

Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Hamizan Hassan dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Hj Azman Shah Ismail.

Sebelum itu dalam ‘Ceramah Hijrah Minda’ bertajuk ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’ oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri yang disampaikan oleh Hj Azman, beliau berkongsi info mengenai, ‘Di peringkat global, Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2020 baru-baru ini telah melancarkan kempen bagi mensasarkan sejumlah 1 trilion pokok ditanam dalam tempoh 10 tahun, bermula dari tahun 2020 sehingga 2030’ dan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke 77 pada 8 September yang lalu mensasarkan supaya 100 Juta Pokok ditanam dalam tempoh 4 tahun sehingga 2024 melalui Program Penghijauan Malaysia.


10 asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada baginda di program tersebut. Turut diadakan ialah promosi memperkenalkan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan pasukan sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW) Tentera Darat Malaysia.

Sementara itu, dalam program berasingan pada pagi sabtu 5 Disember 2020, Jabatan Pertanian Negeri Perlis menganjurkan majlis pelancaran ‘Penanaman Serentak 4,500 Pokok Mangga Harumanis Perlis’ disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda Perlis di Pusat Internet Malaysia Kampung Batas Lintang Simpang Empat.

(Visited 239 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button