Nasional

873 individu ingkar PKP, termasuk 580 pergi pub semalam

Polis Diraja Malaysia telah menahan 873 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam. Daripada jumlah itu, seramai 797 individu telah dikompaun, 71 direman manakala 5 individu lagi diikat jamin.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 580 ditahan kerana melakukan aktiviti dalam pub dan kelab malam yang masih belum dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dikuatkuasakan sehingga hujung tahun ini.

Selain itu, 118 ditahan kerana kesalahan penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka (52), premis beroperasi lebih masa (52), pendatang asing tanpa izin (39), gagal menyediakan peralatan, merekod butiran pelanggan (22), disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran (7), melanggar perintah kuarantin (2) dan menghalang penjawat awam bertugas (1).

Jelas  Ismail Sabri, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah
membuat 58,147 pemeriksaan semalam.

“Sebanyak 2,770 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,255 anggota telah membuat pemantauan di 4,099 pasar raya, 4,936 restoran serta 1,419 penjaja, 1,040 kilang, 3,719 bank dan 742 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 1,086 terminal pengangkutan darat, 218 terminal pengangkutan air serta 113 terminal pengangkutan udara,” kata Ismail Sabri.

Sementara itu Operasi Benteng berjaya melakukan 14 tangkapan yang melibatkan 30 pendatang asing tanpa izin dan empat penyeludup. Operasi turut membuat rampasan 12 kenderaan darat.

Operasi Benteng melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Sebanyak 79 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (65 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (4 SJR).

Sementara itu, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 24,781 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 hotel dan 4 institut latihan awam (ILA).

Daripada jumlah itu, seramai 9,842 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 14,873 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.-SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button