Nasional

1,315 kes Covid-19, enam kluster baharu

SEBANYAK 1,315 kes baharu pandemik Koronavirus (Covid-19) hari ini di seluruh negara menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 63,176 kes.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11,508 kes aktif dengan kebolehjangkitan dicatatkan dan negeri tertinggi mencatatkan kes positif adalah Sabah iaitu 476 atau 36.2 peratus

Kedua adalah Selangor dengan catatan sebanyak 266 kes (20.2 peratus) diikuti Kuala Lumpur yang merekodkan peningkatan 191 kes atau 14.5 peratus daripada jumlah jangkitan.

Sehingga kini, terdapat 118 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 43 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Berdasarkan peningkatan tersebut, tiada tanda-tanda pengurangan ketara dilihat untuk memastikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan lebih awal.

Jika situasi sedemikian berterusan, kemungkinan PKPB di Selangor dan Kuala Lumpur yang sepatutnya tamat pada 6 Disember ini dilanjutkan.

“Kebelakangan ini, didapati semakin banyak kluster-kluster yang terbentuk daripada perhimpunan sosial yang tidak mengikut prosedur perasi standard (SOP).

“Ini termasuklah perhimpunan besar-besaran yang melibatkan kaum keluarga, majlis keraian dan upacara keagamaan.

“Penjarakan fizikal sememangnya sukar diamalkan di kawasan yang sesak dan sempit.

“Namun, mengambil iktibar daripada kejadian kluster-kluster ini, masyarakat dinasihatkan untuk akur dan patuh kepada nasihat yang diberikan. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan di dalam komuniti.

“Aktiviti perhimpunan yang dianjurkan tanpa mematuhi SOP dapat meningkatkan risiko penularan Covid-19 kepada orang ramai.

“Justeru, adalah amat penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling kita daripada mendapat jangkitan Covid-19.”

Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, menerusi kenyataannya dalam taklimat harian perkembangan penularan wabak Covid-19 hari ini.

Beliau menjelaskan, kebanyakan peningkatan adalah berpunca daripada aktiviti perhimpunan yang dihadiri oleh individu bergejala.

Antara kluster yang menyumbang kepada peningkatan seperti Enggor di Perak, Indah Mas di Kuala Lumpur dan Selangor, Inai dan Jambul di Sabah serta Mentari yang melibatkan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut memaklumkan terdapat enam kluster baharu dilaporkan hari ini melibatkan beberapa daerah di Sabah dan Selangor.

Kluster PTS Sibuga

“Kluster PTS (Pusat Tahanan Sementara) Sibuga melibatkan daerah Sandakan, Sabah.

“Kes indeks (iaitu kes ke-35,885) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 5 November 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 28 November 2020, sejumlah 324 individu telah disaring, di mana 104 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Kluster Tapak Bina Jesselton

“Kluster Tapak Bina Jesselton melibatkan daerah Kota Kinabalu, Sabah. Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 28 November 2020 hasil saringan di tempat kerja.

“Sehingga 28 November 2020, sejumlah 181 individu telah disaring, di mana44 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Kluster Dermaga

“Kluster Dermaga melibatkan daerah Sandakan, Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-25,325) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 24 Oktober 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 28 November 2020, sejumlah 297 individu telah disaring, di mana 34 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Kluster Tempasuk

“Kluster Tempasuk melibatkan daerah Kota Belud, Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-56,849) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 24 November 2020 melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 28 November 2020, sejumlah 149 individu telah disaring, di mana 12 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Kluster UD SS2

“Kluster UD SS2 melibatkan daerah Petaling, Selangor. Kes indeks (iaitu kes ke-61,360) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 27 November 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 28 November 2020, sejumlah 40 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif Covid-19.

Kluster Tapak Bina Awan Baru

“Kluster Tapak Bina Awan Baru melibatkan daerah Kepong dan Cheras di Kuala Lumpur. Kes-kes dalam kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 pada 28 November 2020 melalui saringan bersasar ke atas pekerja-pekerja di sebuah tapak pembinaan.

“Sehingga 28 November 2020, sejumlah 442 individu telah disaring, di mana 31 kes telah dikesan positif Covid-19,” jelasnya.

Bagaimanapun, Noor Hisham turut memaklumkan jumlah kes sembuh pada hari ini adalah seramai 1,110 orang dan sebahagian besar daripadanya adalah di Selangor iaitu 511.

Namun, terdapat empat kematian dilaporkan akibat daripada jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 354 kes. – SM

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button