NasionalNegeri

Raja Muda hadir Majlis Iftar Apresiasi Eks PerBah 2024

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Iftar Apresiasi Program Lawatan Kerajaan Negeri Perlis Ke Negeri Sabah (Eks PerBah) Tahun 2024 di Hotel Borneo Royale, Tawau.

Keberangkatan tiba Baginda ke majlis anjuran Kerajaan Negeri Perlis bertujuan untuk memberi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menganjurkan program pada kali ini itu disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dr Faizal Kamaruddin dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji dan Penolong Setiausaha UKK Pejabat SUK Perlis, Siti Juriana Saad.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat ke Majlis Iftar Apresiasi Eks PerBah Tahun 2024 di Hotel Borneo Royale, Tawau.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Datuk Muhd Khair Razman, beliau berharap semoga Program Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Sabah (Eks PerBah) yang dianjurkan saban tahun itu sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan inspirasi kepada semua pihak samada pasukan keselamatan, penjawat awam, para pelajar dan penduduk setempat yang terlibat untuk terus berganding bahu membangunkan masyarakat berminda kelas pertama yang berpengetahuan, berbudaya kerja cemerlang, bermoral tinggi serta memiliki jati diri yang kukuh demi pembangunan negara Malaysia yang tercinta ini.

Beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Rejimen 504 Askar Wataniah dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selaku urusetia bersama dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta semua para peserta yang melaksanakan persiapan rapi bagi menjayakan program tahunan yang telah dipimpim oleh Raja Muda sendiri sejak tahun 2003 lagi ini.

Penghargaan juga beliau ucapkan kepada semua pihak yang terlibat di Sabah, khususnya di Tawau dan Semporna secara langsung mahupun tidak langsung membantu.

Ianya juga mendapat sokongan padu daripada pihak Kerajaan Negeri Sabah,Majlis Perbandaran Tawau, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

Para peserta yang mengambil bahagian secara berbeza setiap tahun ke kawasan-kawasan gerakan keselamatan disempadan perairan negara di Sabah ini terdiri daripada anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, tokoh-tokoh korporat serta para penceramah motivasi daripada YTSP Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berbual dengan salah seorang tetamu sempena Majlis Iftar Apresiasi Eks PerBah Tahun 2024 di Hotel Borneo Royale, Tawau.

Titah Raja Muda selepas majlis itu bahawa beberapa komponen tambahan berbentuk aktiviti Jiwa Murni dan Program Titian Kasih dimasukkan bertujuan untuk menyokong semua usaha Kerajaan Negeri Sabah dalam sama-sama membangun dan meningkatkan modal insan melalui jati diri dan sifat cintakan agama, bangsa dan negara khususnya di kalangan para pelajar yang merupakan pelapis kepada barisan kepimpinan di masa hadapan. – SM

(Visited 39 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button