Nasional

Mindef bantu tingkatkan akademik anak warga ATM

Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memastikan anak-anak warga pertahanan termasuk veteran ATM mendapat pendidikan berkualiti kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurutnya, sebanyak lapan program akan dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam merealisasikan kecemerlangan dalam kalangan anak-anak warga pertahanan.

Beliau berkata, melalui Program Dermasiswa Premium yang memperuntukan sebanyak RM5,000 diberikan secara one-off kepada anak warga ATM dan veteran ATM yang berjaya mendapat tawaran bagi melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti berada di ranking 100 terbaik dunia.

Tambahnya, turut disediakan ialah Skim Penabungan Anak-anak ATM Rukun Kelima (SPARK) melibatkan Yayasan LTAT dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) dan Jabatan Arah Pendidikan ATM.

“Skim ini dapat membantu sebanyak 13,500 anak anggota ATM yang bersekolah di Sekolah Dalam Kem (SDK) dengan membuka akaun simpanan secara percuma di Tabung Haji dan Yayasan LTAT akan
menyumbang RM50 setiap seorang sebagai dana permulaan untuk pembukaan akaun dengan kos keseluruhan RM675,000.00.

“Bagi program Sentuhan Elite Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak RM150,000 diperuntukan bagi membantu anak-anak warga pertahanan untuk meningkatkan penguasaan dan pencapaian akademik dalam mata pelajaran teras.

“Ia melibatkan kolaborasi antara guru-guru pakar serta cemerlang daripada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang berpengalaman luas,” ujarnya kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan meninjau MRSM Terendak di Kem Terendak di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jen. Tan Sri Zamrose Mohd. Zain dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Komunikasi, Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, program Train and Place yang mendapat kerjasama Yayasan Peneraju pula dapat memberi peluang kepada anak-anak warga ATM dan veteran mendapatkan kemahiran di bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Selain itu katanya, antara program yang turut diberikan penekanan ialah program Penajaan Asasi Sastera Bersama UNIRAZAK bagi membolehkan 2,500 anak warga MINDEF, ATM dan veteran ATM mengikuti
pengajian percuma di peringkat Asasi Sastera.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata, seramai 165 anak warga ATM yang mencapai keputusan cemerlang dalam SPM tahun lalu menerima isentif RM1,500 seorang di bawah Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM dan 64 pelajar pula menerima isentif RM1,000 di bawah bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). – SM

(Visited 388 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button