BeritaPendidikan

PTPTN salur bantuan RM100,000 kepada asnaf

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan RM100,000 berupa sumbangan zakat PTPTN Akaun Simpan kepada pelajar-pelajar asnaf melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena Program Tabung Pendidikan Jelajah Simpan SSPN 2021 Peringkat Negeri Perlis.

Sumbangan tersebut dipersembahkan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs dalam majlis yang disekalikan dengan Program Hijrah Minda MAIPs Kali ke 31 bagi Tahun 2021 yang diadakan di Masjid Ar Rahmaniah, Kuala Perlis.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Dr. Fathul Bari Datuk Mat Jahya serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut diadakan ialah penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 28 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan yang dikurniakan oleh Tuanku Raja Muda kepada amilnya, Ramly Berahan berjumlah penuh RM11,200. Masing-masing akan menerima RM400 seorang.

Terdahulu diadakan ceramah berjudul ‘Hijaukan Kawasan Merah Termasuk Kuala Perlis’ yang disampaikan oleh Pegawai daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri, Mohd Zakiuddin Md Shariff yang antara lain memohon masyarakat membuat aduan segera kepada pihak AADK jika terdapat ‘port’ penagihan beroperasi di kampung mereka.


(Visited 89 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button