fbpx
Berita

Selepas abu dibawa balik, Chin Peng pejuang kemerdekaan?

ANALISIS

DILAKUKAN senyap-senyap bimbang orang Melayu marah.

Tup! Tup! rupa-rupanya abu mayat
ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dilaporkan telah dibawa pulang ke Malaysia pada Hari Malaysia 16 September lalu. Licik, sungguh licik sekali.

Abu bekas Setiausaha Agung PKM itu dibawa oleh kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng dari Thailand dan telah ditabur ke laut dan gunung.


Selepas abu Chin Peng dibawa balik, apa lagi selepas ini? Kita jangan lupa beberapa tokoh politik sebelum ini telah mencuba untuk memasukkan sejarah perjuangan komunis dalam buku teks anak-anak kita.

Orang muda apa yang mereka tahu pasal keperitan, penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma hidup orang tua mereka semasa kekejaman komunis Zaman Darurat (1948-1960).

Perajurit tanah air sebahagian besarnya orang Melayu yang berjuang menentang komunis tidak dapat melupakan kezaliman dan kekejaman pihak komunis ini. Selagi hayat dikandung badan, segala pengalaman itu tetap menjadi kenangan pahit buat mereka.

PERAJURIT TERKORBAN

Sejarah mencatatkan seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban manakala 2,560 pula yang cedera. Ramai perajurit yang mengalami kecacatan anggota badan kerana bertempur dengan komunis dan masih hidup sehingga kini.

Dalam kalangan orang awam pula, seramai 2,473 terbunuh, 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian gerila komunis seramai 6,710 dan yang ditawan 3,989.

Di Tanah Melayu, PKM sangat aktif pada 1947 selepas Chin Peng dilantik menjadi Setiausaha Agung. Chin Peng tertarik dengan pendekatan revolusi komunis di China pimpinan Mao Zedong.

Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu.

Dalam buku Chin Peng: My Side Story mempamerkan kebanggaannya terhadap ideologi itu.

MPAJA, BINTANG TIGA

Siapa yang tidak pernah mendengar mengenai Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA), pertubuhan komunis Malaya, terkenal dengan gelaran Bintang Tiga, menguasai Tanah Melayu selama 14 hari, selepas Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1946.

Dalam tempoh sesingkat itu, pelbagai bentuk penyeksaan, kezaliman dan keganasan bermaharajalela di negara kita, dek kerana angkara dan kejahatan komunis.

Ketika Jepun menjajah Tanah Melayu, kebanyakan orang Cina menyertainya kerana benci akan Jepun ekoran permusuhan China-Jepun ketika itu. Jepun menjadikan mereka sebagai sasaran kekejaman. Memang ada orang Melayu yang menyertainya, tetapi sedikit.

Sejarah keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap majoriti orang Melayu bukan cerita dongeng. Seluruh orang Melayu sangat berbekas dan berdendam dengan komunis.

Kebencian orang Melayu terhadap pengganas komunis berpunca daripada pembunuhan dan kekejaman terhadap orang Melayu yang dilakukan oleh pengganas komunis, sebelum dan selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Jadi, siapa Chin Peng pada mata aktivis yang kini diperjuangkan oleh segelintir individu buta sejarah yang mahu mengiktirafnya sebagai pejuang kemerdekaan?

– SUARA MERDEKA

Show More

Related Articles

Back to top button