Berita

PRU15 bukan jadi keutamaan ketika ini

 

PADANG TERAP, 27 Nov – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat ketika tumpuan semua pihak perlu difokuskan terhadap usaha menangani pandemik Covid-19.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini pelbagai usaha masih perlu dilakukan untuk melandaikan lagi kes Covid-19.

“Saya kira elok kita landaikan lagi Covid-19 kerana terdapat pelbagai masalah melanda negara dalam tempoh dua tahun ini. Lagi pun sekarang ini kita dalam usaha memulihkan ekonomi yang terjejas.

“Dua perkara ini perlu diberi penekanan dan selepas itu kalau keadaan dah selesa, eloklah kita fikirkan nak buat PRU.”


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Forum Sahabat Komuniti Desa (Skod) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dekat Naka, Padang Terap, hari ini.

Dalam masa sama menurut Mahdzir, semua pihak turut perlu memberi fokus terhadap pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik tersebut.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menggesa agar PRU-15 dipertimbangkan untuk diadakan dalam masa terdekat kerana mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau juga ada menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja BN memenangi PRN Melaka.

Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, Kementerian Kesihatan berpandangan tidak sesuai untuk PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat.

Ini memandangkan penularan kes Covid-19 di negara ini masih membimbangkan selain berdepan peningkatan kadar kemasukan ke hospital.

(Visited 109 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button