Analisis

Krisis dalaman UMNO jadi punca kekalahan di Negeri Sembilan

DALAM enam buah negeri yang bakal diadakan pilihan raya, Negeri Sembilan digambarkan sebagai berada pada kedudukan terbaik untuk mengekalkan pemerintahan kerajaan sedia ada.

Ia adalah kerana UMNO Negeri Sembilan kuat seperti UMNO Johor, bahkan mungkin lebih kuat kerana ketika tsunami pilihan raya umum yang lalu, parti berkenaan menambah kerusi, ketika di negeri lain UMNO merosot pencapaiannya.

Ditambah pula dengan dominasi DAP di Negeri Sembilan dilihat pakatan BN/PH tidak akan menghadapi masalah untuk mencapai kemenangan di negeri itu jika dilihat dari luaran.

Namun jika ditelusuri lebih dalam, sebenarnya pertikaman dan pertikaian di negeri berkenaan bakal membawa keruntuhan kepada benteng yang dipasak di Negeri Sembilan.

Ia berpunca daripada pergolakan dalaman UMNO itu sendiri. Semasa pemilihan UMNO tempoh hari walaupun jawatan Presiden yang disandang oleh Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden yang dipegang oleh Mohamad Hassan tidak dipertandingkan, tetapi masing-masing melakukan gerakan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing.

Zahid memang tidak percaya kepada Mohamad kerana ketika beliau bercuti dan pemimpin Negeri Sembilan itu memangku jawatan presiden, beliau cuba memancung orang-orang Zahid di dalam UMNO.

Mohamad atau Tok Mat orang yang paling awal bertemu dengan pemimpin Perikatan Nasional, Hamzah Zainuddin selepas keputusan pilihan raya tempoh hari memberi kejayaan besar kepada Perikatan Nasional.

Baru-baru ini juga dikhabarkan Tok Mat juga mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa pemimpin UMNO bak kata orang Negeri Sembilan Tok Mat sering berunding di dalam gelap.

Zahid terang-terangan bertindak melemahkan Tok Mat di Negeri Sembilan dengan melantik Jalaluddin Alias sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, yang sepatutnya dipegang oleh Tok Mat.

Mengapa Tok Mat selaku timbalan presiden UMNO tidak memegang jawatan berkenaan. Mungkin alasan yang diberi ialah Tok Mat sudah mempunyai jawatan di peringkat persekutuan lebih baik jawatan itu diserahkan kepada Jalaluddin yang baharu sahaja dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Tidak cukup itu, Isa samad yang selama ini telah hilang dari radar politik dan merupakan musuh utama Tok Mat, tiba-tiba diberi peranan besar untuk menghadapi pilihan raya kali ini, seolah-olah presiden tidak yakin dengan kemampuan Tok Mat.

Mustahillah jika Isa tidak berdendam dengan Tok Mat sudahlah dijatuhkan dari jawatan menteri besar, Isa juga dibenam oleh Tok Mat sekian lama.

Presiden sudah menghidu gerakan Tok Mat yang mahu mengambil-alih jawatan presiden jika Zahid gagal mengetepikan pertuduhan kes mahkamahnya, atau Zahid didesak meletakkan jawatan apabila keputusan pilihan raya negeri tidak memihak kepada UMNO.

Isa bekas menteri besar Negeri Sembilan pernah menentang Anwar semasa langkah Port Dickson dilaksanakan. Itupun Zahid sanggup mengambil kembali Isa demi melemahkan pengaruh Tok Mat.

Sudah terang lagi bersuluh apabila isteri Isa, Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga telah tidak aktif di dalam politik telah menjadi ketua wanita negeri berkenaan. Bibi memang sangat membenci Tok Mat sehingga ke tahap dia pernah berkali-kali mengatakan mengatakan mengapa Tok Mat tidak lahir berkaki empat yang memberi maksud perangai Tok Mat seperti binatang.

Menambah lagi duri dalam daging di negeri sembilan anak Isa, Najib juga telah menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, sudah pastinya atas perkenan presiden.

Beliau menewaskan penyandang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Abdul Rahman Mohd Redza. Sedangkan sebelum ini Isa yang menetapkan bahawa ADUN tidak harus ditentang sama ada mereka memegang jawatan ketua atau timbalan ketua bahagian.

Krisis dalam itu akan mengheret UMNO kepada kehancuran, apatah lagi kerjasama parti itu dengan DAP sukar diterima oleh akar umbi dan pengundi Melayu yang masih terluka dengan sikap para pemimpin DAP sejak sekian lama.

Selain itu isu kegagalan kerajaan dewasa ini yang gagal menangani isu kos sara hidup bukan sesuatu yang terbatas di sempadan negeri, tetapi ia mencakupi ke seluruh negara.

Faktor tersebut menyebabkan para pengundi tawar hati untuk mengundi kerajaan, kerana berpendapat selain mereka tidak memilih kerajaan hari ini, tetapi terbentuk atas pelbagai muslihat, dan ia terbukti gagal secara total.

(Visited 437 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button