Berita

PDRM sita beberapa lagi harta ‘kingpin’ dadah di Klang PDRM

SEPANG, 4 Feb — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyita beberapa lagi harta milik seorang lelaki warga tempatan disyaki ‘kingpin’ dadah di Klang, Selangor semalam, menjadikan jumlah sitaan setakat ini bernilai RM371.7 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata harta terbaharu yang disita daripada lelaki yang dipercayai berada di negara jiran itu adalah 15 lot kawasan perusahaan bernilai RM5.56 juta.

Beliau berkata kesemua harta berkenaan disita mengikut Seksyen 3 serta 4 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

“PDRM sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran untuk mengesan suspek dan siasatan sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Narcotic Airport Division’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata pihaknya percaya suspek mempunyai lebih banyak harta hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.

“Siasatan akan dijalankan bagi mengesan harta milik suspek di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis menyita harta seorang lelaki warga tempatan disyaki ‘kingpin’ dadah bernilai RM366 juta dan sedang memburu lelaki itu yang dipercayai bersembunyi di negara jiran.

Suspek itu berkemungkinan telah mengetahui bahawa perniagaan kokain yang dikaburi dengan perniagaan arang batu, telah terbongkar dalam satu serbuan di Pulau Pinang pada 2019.

Pada 10 Sept tahun lepas, polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 12 tan metrik kokain dicampur dengan arang batu bernilai RM2.4 bilion dalam tiga kontena di Terminal Kargo Utara Butterworth.

Sindiket membawa dadah dalam 60 guni arang batu dari Amerika Selatan itu berjaya ditumpaskan menerusi Op Eagle yang dijalankan di sekitar Butterworth dan Bayan Baru di Pulau Pinang serta Padang Serai, Kedah.

— BERNAMA

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button