Auto Travel

Projek Kampung Seberang Ramai terima suntikan dana RM50,000

Projek DiRaja Kg Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis menerima suntikan dana sebanyak RM50,000 daripada syarikat Alme Niaga Sdn Bhd melalui Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Cek sumbangan CSR tersebut dipersembahkan oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs, Mohd Rizal Azizan yang mewakili syarikat berkenaan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis baru-baru ini.

Turut dipersembahkan ialah sumbangan zakat syarikat tersebut melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan sumbangan zakat peribadi Ahmad Alif S Ahmad Sharifuddin.

Hadir sama ialah Ketua Hakim Syarie Negeri, Yang Amat Arif Ibrahim Deris dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Tuanku Raja Muda, pelaksanaan tambahan proses mengecat lorong di jajaran luar yang dilaksanakan secara bersama oleh MAIPs dan YTSP Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi, Pasukan Keselamatan, IPT dan juga pihak swasta untuk fasa 8 sudahpun disempurnakan.

Baru-baru ini pihak SW Corp dengan kerjasama E-Idaman telah membekalkan
tong sampah khas kepada wakil penduduk Kg Hujung Tanjung sebagai ‘pilot project’ untuk dijaga dan diuruskan oleh penduduk yang diberi tanggungjawab manakala Jabatan Perhutanan Negeri pula telah menanam 33 batang pokok Bunga Tanjung di Kg Seberang Ramai sempena kempen Penghijauan Malaysia bersama penduduk kampung pada 16 Disember 2021 baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menambah bahawa pelaksanaan ‘Program Transformasi Komuniti’ oleh MAIPs dan YTSP Perlis bagi mengecat bangunan-bangunan dengan warna kuning di Pekan Lama Arau juga sedang dalam tindakan dengan kerjasama beberapa NGO serta golongan asnaf dan kini sudahpun hampir selesai.

Senentara itu Mohd Rizal berkata, inisiatif Kg Warna-warni yang merupakan sentuhan DiRaja Perlis amat baik dan boleh dijadikan model untuk dikembangkan di tempat-tempat lain.

Menutup titah, Tuanku Raja Muda menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baru 2022 dan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kepada seluruh rakyat di negeri dan negara ini. Baginda berharap tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik dari tahun-tahun yang terdahulu serta mendoakan mangsa-mangsa bencana banjir negara akan terus tabah dan bangkit menghadapi dugaan ini.

(Visited 345 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button