fbpx
Nasional

Langgar PKP: Ahli Parlimen Klang beri keterangan

AHLI Parlimen Klang, Charles Santiago telah diminta hadir untuk memberi keterangan ekoran terdapat laporan polis menuduh beliau melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, Peguam V Vemal Arasan memberitahum Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh telah menghantar surat semalam meminta ahli parlimen itu untuk hadir ke balai polis pada pukul 11 pagi ini.

Vemal Arasan berkata, Santiago dipanggil untuk diambil keterangan selepas terdapat laporan mendakwa beliau melanggar PKP kerana terlibat mengagihkan sumbangan makanan di  Dewan Orang Ramai Taman Klang Utama dua hari lalu.

“Kami akan mendapatkan perincian lain daripada pegawai penyiasat,” kata peguam itu yang mengiringi Santiago hadir di balai polis hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco kerajaan negeri Perak, Razman Zakaria juga didakwa melanggar PKP.


Noor Azmi dan Razman dikritik selepas tersebar gambar menunjukkan mereka menghadiri jamuan tengah hari di sebuah sekolah agama di Perak.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga pada minggu lalu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.bagi memberi keterangan berhubung kes pelanggaran PKP.

Ini ekoran tersebar gambar beliau bersama beberapa lelaki di rumah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Dalam gambar yang tular di pelbagai platform media sosial Ahmad Samsuri dilihat bersama beberapa lelaki dan beliau didakwa tidak melakukan penjarakan sosial seperti yang disarankan pihak kerajaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Turut disiasat kerana melanggap PKP ialah anak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hami, iaitu Datuk Nurulhidayah memuat naik gambar di Instagram dipercayai memaparkan perbuatan melanggar PKP.

Turut disiasat suami Nurulhidayah, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.

Gambar itu dimuat naik dengan keterangan: “Selepas Selesai dengan YB Menteri Hal Ehwal Agama, kami ke Kementerian Alam Sekitar untuk berjumpa YB Datuk (Ahmad) Masrizal (Muhammad), Timbalan Menteri bertukar-tukar pendapat dan cadangan adalah cara saya dan YB Datuk Dr Masrizal sejak dahulu menjadi Setiausaha Politik kepada abah @AhmadZahidHamidi tidak berapa lama dahulu. A dear friend to our family.”
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 3) 2020.
Ia masing-masing kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa yang berbahaya kepada nyawa dan melakukan pergerakan tanpa kebenaran.

Kedua-dua mereka sudah diambil keterangan pada 24 April. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button