Nasional

Kerajaan digesa bertindak terhadap penghina Raja Permaisuri Agong

KERAJAAN perlu bertindak terhadap pihak yang menggunakan media sosial bagi menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan pelbagai tuduhan, panggilan nama dan poster yang memalukan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya kesal dengan sikap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana sehingga hari ini belum memberikan sebarang kenyataan tegas berhubung isu tersebut.

Beliau turut mendakwa Kerajaan tidak melakukan tindakan drastik dan keras bagi mempertahankan kedaulatan Institusi Diraja.

“Perbuatan seperti itu tidak boleh dipandang enteng kerana Tuanku Raja Permaisuri Agong merupakan tonggak kepada Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana yang dipelihara dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara.

“Malah sudah masuk hari keempat penghinaaan sebegini berlanjutan, namun pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mahupun Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia tidak memperlihatkan sebarang usaha mahupun tindakan pantas untuk menyekat akaun-akaun media sosial yang jelas menghina Tuanku Raja Permaisuri Agong dan Institusi Raja,” katanya.

Pemuda UMNO akan membuat laporan polis supaya pihak Kerajaan dan Polis DiRaja Malaysia segera bertindak tegas terhadap kumpulan terbabit.

Katanya, penghinaan tersebut sengaja dibuat bagi mahu membentuk persepsi negatif dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi Raja-Raja Melayu yang selama ini menjadi pengimbang kepada segala kekalutan rakyat dan krisis politik dalam negara.

Tuanku Azizah sebelum telah menutup akaun Instagramnya hampir dua hari selepas tanda pagar #dengkike menjadi sohor kini di Twitter.

#dengkike bermula selepas Tuanku Azizah membalas kenyataan seorang pengguna di Instagramnya.

Malah pelbagai poster yang memaparkan wajah Tuanku Azizah telah dimuat naik dan dikongsi di Twitter.-SM

(Visited 500 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button