Nasional

Program Jualan RAHMAH Perak catat jualan lebih RM3 juta

PROGRAM Jualan RAHMAH peringkat Negeri Perak berjaya mencatat jualan melebihi RM3 juta, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.

Beliau yang turut melancarkan dua program KPDN Peringkat Negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng, hari ini berkata, sehingga kini, sebanyak 129 Program Jualan RAHMAH (PJR) telah dilaksanakan di kesemua 24 kawasan Parlimen dan 59 kawasan DUN seluruh negeri Perak.

Program tersebut, katanya, memberi manfaat kepada lebih dari 160,000 orang rakyat Malaysia MADANI dengan jumlah jualan melebihi RM3 juta.

“PJR seluruh Malaysia pula telah merekodkan kehadiran melebihi 2.9 juta orang rakyat Malaysia MADANI dengan rekod jualan melebihi RM70 juta di semua 222 Parlimen.

“Program Jualan RAHMAH Bergerak (PJRB) pada hari ini pula telah diadakan dengan kerjasama daripada rakan strategik KPDN iaitu Kerjaya Emas Trading yang telah menawarkan diskaun antara 15 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat kepada 13 jenis barangan keperluan asas kering, sayur-sayuran serta buah-buahan,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, di Perak, Program Jualan RAHMAH Bergerak (PJRB) dan Aduan Suri.

Fuziah berkata, hari ini dua lori berkapasiti lima dan 10 tan telah digunakan bagi jelajah PJRB di kawasan terpilih seluruh negeri Perak.

Sehingga kini, beliau berkata, PJRB telah menjangkau rakyat Malaysia MADANI di bandar, di pinggir bandar dan di luar bandar meliputi 575 lokasi di seluruh negara.

Beliau berkata, jumlah PJR dan PJRB pula telah dilaksanakan di 1,748 lokasi atau tujuh lokasi setiap Parlimen sejak ia diperkenalkan pada Januari 2023.

“Terdapat tiga model Program Jualan RAHMAH iaitu dalam premis, luar premis, dan bergerak (mobile).

“PJRB atau #KedaiCariRakyat terbukti dapat memberi kesan yang positif dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup dan kini telah menjangkau di semua peringkat termasuk kawasan yang tiada pasar raya atau pasar raya besar,” jelas beliau.

Pada acara yang sama, Fuziah turut menyempurnakan Majlis Perasmian Aduan Suri Peringkat Negeri Perak.

Fokus utama Aduan Suri adalah kepada suri rumah tangga yang sering berurusan dengan pembelian barang keperluan secara harian dan sering berdepan dengan masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan.

Pendekatan program ini, kata Fuziah, adalah selaras dengan hasrat Kementerian dalam membentuk komuniti suri rumahtangga supaya dapat menjadi mata dan telinga serta rakan strategik Kementerian dalam memberikan maklumat lapangan di seluruh Malaysia.

Katanya, selain itu, Aduan Suri juga bertujuan menggalakkan para suri rumah untuk bertindak dan berdaya upaya dalam memperkasakan hak-hak sebagai pengguna.

“Melalui inisiatif baharu dalam Aduan Suri, golongan suri rumah tangga dapat membuat aduan kepenggunaan melalui aplikasi Kod QR WhatsApp.

“Melalui mekanisme ini, pengadu hanya perlu mengimbas Kod QR tersebut dan ianya akan terus disalurkan ke aplikasi Whatsapp aduan KPDN,” katanya.

Melalui kemudahan ini, Fuziah berkata, adalah menjadi hasrat Kementerian agar pengguna dapat memanfaatkan semua saluran aduan yang disediakan serta dapat membantu Kerajaan dalam membanteras salah laku peniaga atau sebarang pelanggaran terhadap undangundang di bawah seliaan KPDN.

Untuk makluman, sejak Aduan Suri dilancarkan pada 12 Januari 2023 sehingga 31 Ogos 2023, sejumlah 9,908 aduan melalui Aduan Suri telah diterima oleh Kementerian dengan kategori berkaitan transaksi dalam talian adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 3,028 aduan.

Ini diikuti dengan aduan berkaitan harga 2,473 aduan, perkhidmatan yang mengelirukan sebanyak 1,555 aduan dan selebihnya bagi pelbagai kategori iaitu sebanyak 2,852 aduan.

“Bagi negeri Perak, sebanyak 423 aduan melalui Aduan Suri telah diterima. Kategori aduan tertinggi melalui Aduan Suri adalah berkaitan transaksi dalam talian iaitu sebanyak 181 aduan.

“Ia diikuti dengan aduan berkaitan harga sebanyak 97 aduan dan perkhidmatan mengelirukan sebanyak 52 aduan dan selebihnya bagi pelbagai kategori iaitu sebanyak 93 aduan,” katanya. – SM

BACA PM umum peruntukan tambahan RM50 juta perluas inisiatif RAHMAH

BACA Jualan RAHMAH bergerak Peringkat Kebangsaan telah dilancarkan

(Visited 90 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button