fbpx
Politik

Henti sasar keluarga: Najib tempelak Kit Siang

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak Penasihat DAP Lim Kit Siang apabila meminta agar menantunya, Betty Chew tidak menjadi sasaran.

Menurut Najib, dalam kesnya bukan sahaja isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dikenakan dakwaan di mahkamah tetapi juga anak tiri, anak lelaki dan anak perempuannya turut didakwa ketika era pentabiran Pakatan Harapan.

Najib berkata, selain keluarganya, peguam yang mewakilinya, Tan Sri Shafee Abdullah dan Datuk Mohd. Hafarizam Harum juga diseret ke mahkamah ketika.

“Kit Siang tuntut kerajaan PN untuk gugurkan dakwaan terhadap isteri Guan Eng dengan alasan ahli keluarga tidak patut diheret dalam dendam politik..

“Untuk maklumat Uncle, Kerajaan PH dahulu mengenakan dakwaan mahkamah terhadap: Saya 7 kes berasingan, isteri saya, anak tiri saya, anak lelaki saya, anak perempuan saya, peguam saya Tan Sri Shafee Abdullah dan peguam saya Datuk Mohd Hafarizam Harun,” kata Najib.


Kit Siang membuat rayuan terbuka kepada Perdana Menteri, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar menggugurkan pendakwaan terhadap menantunya, Betty Chew.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, penganiayaan dan diskriminasi terhadap lawan politik adalah sesuatu yang tidak wajar dan harus dielakkan.

Katanya, kerajaan harus kekal menghormati kehidupan awam dan tidak memusnahkan keluarga serta menyasarkan anggota keluarga.

“Namun begitu, kita perlu meletakkan had dalam situasi ini. Penganiayaan dan diskriminasi terhadap lawan politik adalah sesuatu yang tidak wajar dan harus dielakkan.

“Kita harus kekal menghormati kehidupan awam dan tidak memusnahkan keluarga serta menyasarkan anggota keluarga. Tindakan sebegini harus dihentikan,” kata Kit Siang.

Kit Siang berkata, tindakan terhadap Betty seolah-olah beliau seorang penjahat besar di Pulau Pinang yang terlibat dalam jenayah yang dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram seperti pemerdagangan dadah, pembiayaan aktiviti keganasan dan rasuah.

“Penjenayah yang mereka sebutkan itu bukan Betty Chew yang saya kenali selama tiga dekad.

“Betty Chew yang saya kenali ialah seorang isteri yang setia dan ibu yang penyayang kepada empat cahaya matanya. Saya berbangga dengan menantu saya yang merupakan seorang peguam dan mantan Adun di Melaka sebelum bersara.

Isteri bekas Menteri Kewangan itu ditahan SPRM semalam untuk membantu siasatan berhubung kaitannya dengan sebuah syarikat swasta dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 11 Ogos.

Peguam Betty berkata, beliau mengiringi anak guamnya ke SPRM untuk merekodkan kenyataan bagi membantu siasatan SPRM mengenai penglibatan beliau dengan sebuah syarikat swasta, Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd.

“Siasatan ini berkaitan perunding perundangan yang beliau tawarkan kepada syarikat dan ia disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button