fbpx
PRK

PRK Chini: Polis buka dua kertas siasatan

POLIS telah membuka dua kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini setakat hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd. Jalil Hassan berkata, ia melibatkan laporan oleh polis berhubung kelakuan penyokong salah satu calon bertanding kerana didakwa membuat bising di hadapan pusat penamaan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Sabtu lepas.

Beliau berkata, satu lagi kertas siasatan pula melibatkan laporan oleh seorang calon Bebas yang mendakwa gambarnya disalah guna kononnya mewakili salah sebuah parti politik yang tidak bertanding pada PRK itu yang tular di media sosial.

“Kes itu disiasat di bawah Akta Fitnah 1957 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 namun buat masa ini, tiada tangkapan dibuat.

“Kita juga menasihatkan semua calon agar dapat terus mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


“Kita harap suasana baik yang berlaku dalam beberapa hari pertama kempen dapat diteruskan supaya PRK DUN Chini boleh menjadi contoh kepada pilihan raya akan datang di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, hari ini.

PRK DUN Chini yang ditetapkan pada 4 Julai ini menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, serta Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

PRK diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun dari Barisan Nasional (BN) akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button