fbpx
PolitikPRK

BN, PN, PBS kompromi

SELEPAS kekalutan semalam semasa pengumuman senarai calon, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menjadi koalisi pertama yang melaksanakan kompromi secara konsensus untuk mengelak pertembungan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata semua parti terlibat juga telah bersetuju membentuk solidariti bagi menghadapi PRN Sabah secara bersama.

“Pengumuman (calon) diadakan semalam nampak pertembungan sesama sendiri dan ini akan diselesaikan sesegera yang mungkin,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis perjumpaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama lebih 20 pemimpin daripada BN, PN dan PBS di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Sebelum ini media melaporkan terdapat 11 pertembungan sesama calon perikatan tersebut.


Bernama melaporkan Ahmad Zahid berkata semua parti itu juga setuju untuk melancarkan ‘Aku Janji’ secara bersama pada Hari Malaysia, 16 September ini bagi memberitahu tawaran buat rakyat Sabah sekiranya gabungan itu menang PRN Sabah.

“Aku janji itu tawaran baharu untuk Sabah terutama pengundi-pengundi dan persetujuan bersama parti-parti ini akan dimuktamadkan,” katanya.

Selain itu katanya, semua parti yang terlibat akan mengkoordinasi gerak kerja antara parti secara bersama supaya tugas dalam PRN Sabah dapat dijalankan dengan sempurna.

Dalam pada itu, Presiden STAR  Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata antara inti pati perjumpaan itu adalah mengenai mewujudkan satu jawatankuasa penyelaras dalam menghadapi PRN Sabah.

Katanya perkara itu disambut baik oleh semua yang hadir dalam usaha memantapkan lagi kerjasama antara semua parti dengan satu agenda iaitu memenangi pilihan raya itu.

“Amanat (Muhyiddin) memberikan kita semangat untuk kerjasama dan pastikan kita menang,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button