Politik

Pembangkang mahu kerajaan tanggung kos kuarantin warga Malaysia

PARTI Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat mahu kerajaan menanggung kos kuarantin Covid-19 terhadap warganegara Malaysia yang berkelayakan.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh  Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir, mereka juga meminta kerajaan untuk  menanggung kos ujian calitan Covid-19.

Menurut mereka, bantuan itu perlu kerana ada dalam kalangan warganegara yang terpaksa pulang ke tanah air kerana kekangan kewangan atau soal keselamatan.

“Sebagai contoh, terdapat rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura kerana telahpun diberhentikan kerja serta pintu sempadan telah ditutup sejak 18 Mac 2020.

“Terdapat juga kumpulan warganegara yang memilih untuk tidak pulang sejak Mac kerana tidak mampu berjalan kaki menyeberangi tambak Johor dan beranggapan pintu sempadan akan dibuka sebelum ini namun kini hanya akan dibuka pada 17 Ogos 2020. Kumpulan ini terdiri daripada orang tua, wanita mengandung dan kanak-kanak,” kata mereka.

Menurut mereka, kos yang dikenakan iaitu sebanyak RM2,100 kepada individu yang dikuarantin merupakan satu bebanan kepada kumpulan yang tidak berkemampuan.

“Ini turut menimbulkan tanda tanya apabila jumlah ini hanya menampung 44 peratus daripada kos kuarantin sedangkan pada bulan April, kerajaan telah menanggung sebanyak RM150 sehari atau RM 2,100 untuk kos tempat tinggal dan makan.

“Ini bermakna, warganegara yang pulang ketika ini perlu menanggung 100% kos tempat tinggal dan makan,” kata mereka.

Mereka meminta kerajaan agar jangan meletakkan kegagalan atau ketidak patuhan oleh segelintir mereka yang melanggar kuarantin di rumah kepada warganegara yang terpaksa pulang.

Kedua-dua mereka yang merupakan Ahli Parlimen dari Johor turut mempersoalkan kenapa Kerajaan Negeri Johor tidak mengambil tanggungjawab untuk membayar kos kuarantin.

“Mengapa negeri Sarawak masih menanggung kos kuarantin untuk rakyatnya yang pulang dari luar negara? Bagi situasi di Johor, sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak mahu menanggung kos, kenapa Kerajaan Negeri Johor tidak memikul tanggungjawab tersebut?

“Kami mendesak agar kerajaan meneliti perkara ini dan mengambil pendekatan yang lebih prihatin dan membela nasib rakyat Malaysia,” kata mereka.-SM

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button