Nasionalpilihan

Usahawan Luar Bandar disaran kuasai kemahiran digital

USAHAWAN luar bandar disaran agar melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran digital dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetetif.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usahawan luar bandar juga perlu melakukan anjakan paradigma dalam perniagaan mereka selaras dengan perubahan ekonomi berasaskan digital dan Revolusi Industri 4.0.

“Para usahawan digalakkan untuk menghadiri latihan dan program peningkatan kemahiran digital bagi memastikan produk yang dipasarkan dapat menarik perhatian malah beralih kepada pemasaran secara digital kini adalah norma baharu dalam perniagaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika berucap di Ekspo Lembaga Kemajuan Wilayah Utara (PERDA) (Expert) 2022 di Dataran Transformasi Usahawan, Midtown PERDA di Kubang Menerong di sini pada Sabtu. Foto: UKK KPLB

Memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi dan kemahiran berkemungkinan tidak memberi impak yang berkesan, sebab itu KPLB telah menyediakan banyak kursus dan bimbingan digital bagi membantu usahawan luar bandar dalam memasar, menambah baik mutu dan kualiti produk dalam persedian memulakan perniagaan dalam talian termasuk menyediakan platform DesaMall@KPLB.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Lembaga Kemajuan Wilayah Utara (PERDA) (Expert) 2022 di Dataran Transformasi Usahawan, Midtown PERDA di Kubang Menerong di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi PERDA, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Mengenai penganjuran Expert 2022, Mahdzir menjelaskan ekspo itu diperkenalkan bagi mempromosikan produk keluaran usahawan khususnya usahawan luar bandar di Pulau Pinang.

Selain itu, ianya juga sebagai platform untuk memberi ruang kepada usahawan yang telah mempunyai perniagaan mahu pun yang baru menceburi bidang keusahawanan.

Penganjuran Expert itu katanya melibatkan 186 penyertaan dengan menyasarkan nilai jualan dan pemerolehan kontrak berjumlah RM1 juta.

Manakala jumlah kehadiran pula disasarkan lebih 40 ribu pengunjung sepanjang empat hari program berlangsung dari 8 September sehingga hari ini.

“Expert kali ini membawa tema “Usahawan Luar Bandar Tonggak Ekonomi Negara” dan ia diperkenalkan berpandukan Teras Strategik 1 dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Teras tersebut menyasarkan Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan mikro menyumbangkan sebanyak 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030.”

Tambah Mahdzir, Expert itu juga antara lain untuk meningkatkan penyertaan usahawan dalam pelbagai bidang ekonomi dengan menghimpunkan pelbagai sektor dan peringkat di dalam satu ekspo bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan produk usahawan atau peluang pekerjaan.

“Berdasarkan maklumat daripada PERDA, ketika ini terdapat seramai 1,365 usahawan bimbingan mereka dengan 200 daripadanya telah berjaya mempunyai kilang atau premis sendiri bagi menjalankan perniagaan.

Kita harap Expert ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya,” katanya. – SM

Artikel berkaitan > Usahawan luar bandar disaran kuasai kemahiran pemasaran digital

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button