JenayahNasional

Polis Sentul potong elektrik ke atas 9 premis jalani kegiatan pelacuran dan perjudian

Bekalan elektrik di sembilan premis disyaki menjalankan kegiatan pelacuran dan perjudian di sekitar Daerah Sentul, dipotong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pemotongan bekalan elektrik itu dilakukan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad susulan beberapa siri serbuan tahun ini membabitkan 19 premis pelacuran dan 20 premis perjudian.

“Kebanyakan premis yang diserbu adalah rumah kedai yang disewa oleh sindiket pelacuran dan perjudian bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

“Hasil dari serbuan yang dilakukan, tujuh premis telah dipotong bekalan elektrik pada 2 Mac lalu manakala dua premis lagi yang terletak di Taman Usahawan dan di Taman Sri Sinar, Kepong, di sini, dipotong bekalan elektrik pada jam 12 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, operasi pemotongan bekalan elektrik akan diteruskan sebagai langkah untuk mengurangkan kegiatan pelacuran dan perjudian di daerah ini.


“Tindakan pemotongan bekalan elektrik di premis ini dibuat selaras Peruntukan Akta Bekalan Elektrik 1990. Polis mengambil berat terhadap permasalahan ini dan akan terus melakukan pemantauan dalam usaha mengekang kegiatan pelacuran dan perjudian,” katanya.

Eng Lai berkata, tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang didapati melanggar undang-undang dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan ini disaran untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206.– BERNAMA

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button