fbpx
Nasional

PKPP: Kerajaan negeri perlu akur

AKTA Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah terpakai untuk semua negeri kecuali Sarawak yang mempunyai aktanya sendiri, katanya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata oleh itu negeri-negeri lain tidak ada pilihan selain turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setelah kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaannya dengan peraturan yang diwartakan mulai 10 Jun hingga 31 Ogos depan.

“Negeri-negeri lain kecuali Sarawak sudah tidak ada akta kawalan penyakit berjangkit maka rujukan untuk negeri-negeri berkenaan adalah satu akta sahaja iaitu Akta 342.

“Negeri tidak boleh buat peraturan-peraturan lain kerana dalam Perlembagaan Persekutan mana-mana akta atau peraturan negeri yang bertentangan dengan akta kerajaan Persekutuan adalah ultra virus, terbatal dengan sendiri dan tidak boleh dilaksanakan,” katanya selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bahawa kerajaan negeri akan meneliti keputusan serta ketetapan PKPP terlebih dahulu dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang sebelum melaksanakannya.

Ismail Sabri berkata peraturan yang diwartakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan terbatal pada 9 Jun  kerana ada langkah kawalan baharu yang diwartakan di bawah PKPP yang berkuat kuasa pada 10 Jun.

“Jadi dia (Ketua Menteri Pulau Pinang) hendak ikut yang mana?  Tentulah dia terpaksa ikut PKPP yang diwartakan.

“Kalau pun kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mahu melaksanakan penguatkuasaan (PKPP), pegawai-pegawai di peringkat persekutuan seperti polis dan sebagainya boleh mengambil tindakan undang-undang kalau  berlaku kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri terutamanya Pulau Pinang supaya dapat mengguna pakai Akta 342. – BERNAMA

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button