Nasionalpilihan

Kerajaan Perpaduan wujud di Melaka

Kerajaan Perpaduan wujud di Melaka apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang dari DAP, Seah Shoo Chin diumumkan berada dalam senarai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO)
yang mengangkat sumpah di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka hari ini.

Shoo Chin adalah antara muka baharu bersama ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan dan ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berada dalam barisan EXCO baharu di bawah Ketua
Menteri Ke-13, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Seramai tujuh ADUN di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dilantik semula iaitu ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak
Abdul Rahman; ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin.

Turut dilantik semula ialah ADUN Gadek, VP. Shanmugam; ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem dan ADUN Ayer Molek; Datuk Rahmad Mariman.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Bilik Mesyuarat Tun Fatimah, kira-kira pukul 8.40 pagi.

Seperti yang diramalkan dua ADUN yang digugurkan ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan semula jawatan Timbalan EXCO yang sebelum ini digunakan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Bagaimanapun, apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) jawatan tersebut telah dimansuhkan.

ADUN Tanjong Bidara itu berkata, jawatan tersebut akan turut diisi oleh ADUN dari PH serta diumumkan esok selepas mesyuarat pertama EXCO.

“Saya akan umumkan pelantikan timbalan Exco esok selepas selesai mesyuarat Exco.
Komposisinya
cantik dan menarik serta meletakkan semua ADUN untuk berperanan bersama-sama saya di bawah satu
pentadbiran yang mantap.

“Semua Exco akan ada timbalan dan segala butiran lantikan itu akan saya umum esok,” katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Serta Sumpah Simpan
Rahsia Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Barisan EXCO Melaka

1. DATUK SERI AB. RAUF YUSOH
Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.

2. DATUK RAIS YASIN
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana.

3. DATUK ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya.

4. DR. MUHAMAD AKMAL SALEH
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

5. FAIRUL NIZAM ROSLAN
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital.

6. DATUK KALSOM NORDIN
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.

7. VP. SHANMUGAM
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO.

8. NGWE HEE SEM
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan.

9. DATUK HAMEED MYTHEEN KUNJU BASHEER
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan.

10. SEAH SHOO CHIN (ADUN PH)
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

11. DATUK RAHMAD MARIMAN
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama. – SM

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button