fbpx
Politik

PH dakwa projek rundingan terus hanya RM332 juta

PAKATAN Harapan (PH) menafikan projek rundingan terus diluluskan ketika mereka menjadi kerajaan benilai RM6.61 bilion sebaliknya hanya RM332 juta sahaja.

Justeru, baki selebihnya adalah jumlah bagi projek yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebanyak RM6.23 bilion.

Jumlah tersebut dikatakan hanya 0.07 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan kerajaan yang berjumlah RM477.38 bilion.

Oleh demikian, 99.93 peratus dikatakan projek rundingan terus yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum mereka tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Apa yang mengejutkan ialah, rupa-rupanya projek rundingan terus di bawah insiatif PH bukanlah RM6.61 bilion seperti diuar-uarkan.


“Tetapi sebenarnya, hanya RM332 juta, baki RM6.26 bilion adalah projek yang diwarisi zaman BN yang terpaksa diteruskan oleh PH.

“Nilai projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion hanya merupakan 1.38 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan kerajaan Malaysia pada 2018 dan 2019.

“Sekiranya hanya projek rundingan terus yang benar-benar di bawah inisiatif PH yang diambil kira iaitu sekara RM332 juta sahaja.

“Ia bukan 1.38 peratus tetapi hanya 0.07 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan kerajaan tempoh itu sebanyak RM477.38 bilion.

“Dalam kata lain, 99.93 peratus daripada jumlah perolehan telah ditawarkan melalui kaedah tender dan bukan rundingan terus.”

Demikian penjelasan yang dibuat oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadap pendedahan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul menerusi Facebook dan Twitternya mendedahkan senarai 101 projek rundingan terus yang didakwa diluluskan oleh kerajaan PH.

Dalam senarai tersebut, beberapa kementerian turut didedahkan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pertahanan (Mindef), Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Turut terlibat adalah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Hal Ehwal Ekonomi, Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Oleh demikian, susulan pendedahan tersebut, Guan Eng mendakwa Menteri Kewangan membuat tiga penipuan dalam pendedahan tersebut.

“Ada tiga penipuan besar, yang pertama kebanyakan projek rundingan terus ini bukan inisiatif baharu daripada PH.

“Tetapi, adalah projek yang diwarisi atau sambungan daripada zaman Barisan Nasional (BN).

“Bezanya, PH telah meneruskan projek-projek ini dengan pemotongan kos yang menghasilkan penjimatan ketara.

“Penipuan kedua, meletakkan projek zaman BN sebanyak RM6.23 bilion sebagai projek rundingan terus zaman PH.

“Ini BN punya, dia pula cakap salah kita. Yang sebenarnya hanya RM352 juta untuk menjadikan jumlah kononnya RM6.61 bilion.

“Keraguan kami telah ternyata dan terbukti dengan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didedahkan oleh Kementerian Kewangan.

“Penipuan ketiga, ialah usaha Menteri Kewangan untuk menutup hakikat bahawa Perdana Menteri dan menteri-menteri pengkhianat PH yang kini menjadi menteri Perikatan Nasional (PN) juga ada meminta projek rundingan terus.

“Mereka semua telah cuba menafikan dalam Parlimen dan dalam kenyataan akhbar.

“Pembohongan menteri-menteri pengkhianat dibongkar dengan pendedahan senarai Menteri Kewangan semalam (Isnin),” jelasnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP itu turut menafikan dakwaan mengatakan projek tersebut tidak dibentangkan di dalam Kabinet.

Malah, beliau menuduh dakwaan sedemikian sebagai satu pembohongan dan menyatakan menteri yang menyatakan sedemikian ‘tidur’.

“Sama ada menteri-menteri pengkhianat ini bohong, tidur dalam kabinet atau terlalu sibuk mengaturkan ‘Langkah Sheraton’ hanya mereka yang tahu.

“Menteri Kewangan sendiri mengakui projek rundingan terus tidak salah dan dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi syarat-syarat.

“Diantaranya, perolehan masa krisis atau bencana alam, berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun kepakaran khusus,” katanya.

Justeru, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, PH yakin memenuhi manifesto mereka dalam Janji 23 seperti yang dinyatakan sebelum memenangi PRU-14.

“Sememangnya kerajaan PH mengamalkan sistem tender terbuka selaras dengan manifesto Pilihan Raya Umum 2018 PH yang menyatakan dalam Janji 23.

“…’Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus terutamanya untuk projek-projek besar’.

“Dan dengan hanya 0.07 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan kerajaan PH adalah projek rundingan terus.

“Jelas sekali PH, mengotakan janji untuk menerima pakai sistem tender terbuka, selaras prinsip akauntabiliti dan ketelusan,” ujarnya.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh apabila Tengku Zafrul memaklumkan mengenai 101 projek rundingan terus dibuat oleh kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan.

Makluman itu dibuat beliau ketika berucap dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Covid-19 Langkah Pencegahan. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button