Nasional

Pesta buku pertama Malaysia selepas PKP diadakan di Selangor

SELANGOR menjadi negeri pertama di Malaysia yang menganjurkan pesta buku sebaik sahaja ekonomi negara dibuka semula.

Bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) sejumlah 121 pempamer terlibat dalam Pesta Buku Selangor yang berlangsung dari 2 Disember hingga 12 Disember ini. Pesta buku tersebut dianjurkan secara bersama oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Mastura Muhamad

Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, pesta buku itu diadakan bagi membantu ekonomi para pemain industri iaitu penulis, penerbit dan penjual buku untuk pulih semula selepas terkesan dengan Covid-19.

“Kita tahu berapa ramai masyarakat yang terkesan terutama peniaga. Pihak kerajaan negeri merasakan agensi di bawahnya perlu menjadi pendorong untuk mengaktifkan semula ekonomi termasuk penulis, penerbit dan penjual buku.

“Kita tahu industri buku banyak penerbit yang tutup disebabkan Covid-19. Ramai orang hilang pekerjaan. Sebab itu kami mengambil inisiatif ini,” kata Mastura ketika ditemui baru-baru ini.

Justeru beliau berharap pengunjung yang hadir dapat melakukan pembelian dalam membantu pemain industri buku untuk bangkit semula.

“Saya berharap pengunjung menjadi pembeli yang bersimpati dan membeli buku-buku yang dijual. Kita belilah buku-buku untuk anak-anak. Buku-buku yang disediakan berkualiti.

“Kita hidupkan balik industri buku. Kerana ini adalah penting untuk mendidik masyarakat dengan ilmu rohaniah dan intelektual yang baik, barulah negara kita dapat maju dan bangkit semula daripada ujian Covid-19,” katanya.

Buku kisah jurukamera Bernama TV yang ditembak ketika misi kemanusiaan di Somalia pada 2011 turut dijual di reruai Kasi Terbit di P18.

Tambah Mastura, pesta buku itu diadakan dengan prosedur operasi standard yang ketat bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 dengan hanya mereka yang lengkap dua dos vaskin sahaja dibenarkan hadir termasuk kanak-kanak.

Hanya 2,000 pengunjung dibenarkan berada dalam dewan pameran pada satu-satu masa.

Bagaimanapun bagi mereka yang tidak dapat hadir, mereka boleh melakukan pembelian secara dalam talian.

“Kelebihan pesta buku ini dilakukan secara hibrid dengan kerjasama Majlis Buku Negara yang pernah mengadakan pesta buku hibrid dengan Shopee.

“Peminat buku boleh membeli buku secara dalam talian. Selain itu pengguna juga boleh membeli buka melalui platform dalam talian SECDEC milik kerajaan negeri.

“Dengan mengadakan pesta buku secara hibrid masyarakat dapat menikmati buku-buku yang ada. Kita dapat menaikkan semula kegemilangan industri buku,” katanya.

Pengunjung yang membeli buku bernilai keseluruhan RM30 ke atas berpeluang menyertai cabutan bertuah. Pihak penganjur akan memberikan wang tunai RM500 setiap seorang kepada sembilan pengunjung bertuah setiap hari selama pesta buku itu berlangsung.

Skuter juga disediakan untuk orang kelainanj upaya dan warga emas selain pertandingan permainan tradisional dan e-Sukan bagi kanak-kanak.

Antara yang membuka gerai adalah syarikat Kasi Terbit Ptd. yang menjual lebih 120 judul buku pelbagai genre termasuk hartanah, kewangan, travelog dan kesihatan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Buku yang dijual termasuk novel berdasarkan kisah benar adalah ‘Syurga di bawah langit Somalia’ mengenai jurukamera Bernama TV yang maut ditembak di Somalia karya Khairulanuar Yahaya; Kembara Afganistant dan Memoir Iran-Iraq Kurdistan, Salam Kembara karya Siti Noridah Ab. Rahman serta buku tulisan Zahriman Alias bertajuk ‘F Team Rahsia dalam Rahsia dan F Team Tenggelam Dalam Rahsia.

Buku-buku tersebut berharga antara RM10 hingga RM40 dan mempunyai diskaun sehingga 40 peratus.-SM

 

 

(Visited 703 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button