Jenayahpilihan

Pesara tentera kerugian RM125,000

Gara-gara menerima panggilan telefon dari wakil Pos Laju dan polis, seorang pesara tentera kerugian sebanyak RM125,000 selepas diperdaya satu sindiket penipuan.

Lelaki berkenaan mengeluarkan semua wang simpanan saraannya apabila merasa bimbang ditahan polis kerana didakwa dia terlibat dalam kegiatan dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt. Arshad Abu berkata, kejadian bermula apabila lelaki berusia 40-an itu menerima panggilan telefon Sabtu lepas yang mendakwa daripada Pos Laju Kuala Lumpur kerana terdapat bungkusan yang tidak dituntut kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Mangsa kemudiannya diberitahu dia mempunyai barang terlarang seperti kad pengenalan dan kad kredit yang menyebabkan bungkusan itu disita oleh pihak kastam.

“Panggilan itu kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan mangsa telah bercakap dengan seorang individu dikenali sebagai ‘Sarjan Suraya’.

“Mangsa kemudiannya bercakap pula dengan individu dikenali sebagai Inspektor Dani yang mengambil kesnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, mangsa kemudian turut dimaklumkan bahawa dia telah terlibat dalam kegiatan dadah dan pengubahan wang haram.

Menurutnya, panggilan itu kemudian disambungkan kepada peringkat tertinggi untuk membuat aduan dan rayuan.

Katanya, mangsa turut dimaklumkan semakan terhadap akaun banknya perlu dibuat dan akan merujuk perkara berkenaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mangsa turut diminta membuat bayaran untuk siasatan dan pembersihan dana sehingga dia melakukan tiga transaksi secara berperingkat pada Sabtu dan Ahad lalu ke dalam dua akaun bank suspek berjumlah RM125,000,” ujarnya.

Arshad berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila dia menghubungi IPK Pulau Pinang dan ingin bercakap dengan Sarjan Suraya dan Inspektor Dani namun dimaklumkan kedua-dua nama itu tidak wujud di situ.

Katanya, susulan itu mangsa telah membuat satu laporan polis berhubung kejadian yang menimpanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – SM

 

(Visited 38 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button