NasionalpilihanTravel

MOTAC beri pengiktirafan 3 Bintang kepada Boulder Valley Glamping

KEMENTERIAN Pelancongan pada hari ini telah menyampaikan Sijil Penggredan kepada Boulder Valley Glamping, Pulau Pinang.

Majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada Boulder Valley Glamping kerana telah berjaya menerima penggredan 3 Bintang Kategori Hotel Inovatif Resort di bawah MOTAC. Boulder Valley Glamping merupakan premis pertama kategori Hotel Inovatif yang diberikan penggredan di Malaysia.

Kejayaan Boulder Valley Glamping memperoleh penggredan ini menunjukkan bahawa kriteria yang diguna pakai MOTAC terbukti boleh dipenuhi oleh semua premis yang berstruktur kekal dan sementara di Malaysia selaras dengan Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992.

Pengiktirafan dan penggredan yang diperoleh ini dapat dijadikan sebagai pemangkin kepada kesedaran dan galakan semua pengusaha glamping di seluruh Malaysia untuk mendapatkan penggredan di bawah MOTAC. Dengan adanya penggredan ini, banyak manfaat dan faedah yang akan diperoleh oleh pihak premis bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk menginap.


Ini kerana penilaian yang dilaksanakan oleh MOTAC memberi penekanan kepada aspek keselamatan, kemudahan dan keselesaan yang ditawarkan kepada pelancong selain daripada aspek-aspek tambahan lain yang turut dititikberatkan di mana secara keseluruhannya terdapat 12 aspek kriteria yang dinilai tertakluk kepada lokaliti keberadaan PPP tersebut.

MOTAC menyasarkan lebih ramai pengusaha glamping yang akan diberikan penggredan pada tahun 2023. Pelbagai aktiviti seperti promosi, turun padang dan lawatan tapak ke setiap negeri akan mula dipergiatkan bagi memberi hebahan kepada mereka. Banyak faedah dan insentif yang akan diperoleh oleh pihak premis sekiranya berdaftar dan diberikan penggredan seperti pengecualian insentif cukai di bawah MIDA dan lain-lain mengikut syarat yang ditetapkan.

Pelaksanaan penggredan ini juga akan menjadi pemangkin kepada pengusaha glamping di Malaysia untuk terus menawarkan perkhidmatan dan fasiliti yang terbaik kepada pengunjung dan seterusnya memberikan lebih banyak pilihan kepada pelancong sama ada domestik dan antarabangsa untuk memilih premis berdasarkan kepada penggredan yang telah diberikan ini.

Artikel berkaitan > 5 destinasi percutian berkonsepkan alam semula jadi di negeri Selangor

 

(Visited 100 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button