Pendidikan

Suri rumah graduan terbaik keseluruhan UNIMEL

Seorang suri rumah mencipta sejarah menjadi graduan pertama Universiti Melaka (UNIMEL) yang dulunya dikenali Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) apabila meraih Anugerah Terbaik Keseluruhan Ijazah Sarjana Muda tahun 2020.

Intan Syaqina Jaafar, 27, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan Islam dan anugerah tersebut daripada Canselor yang baharu dimahsyurkan Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-24 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Berasal dari Gemas, Negeri Sembilan yang kini bekerja sebagai guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Palong 2 menyifatkan anugerah yang diterimanya seperti tidak termimpi diperolehinya.

“Dalam ribuan graduan yang ada tiba-tiba nama saya diumumkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Keseluruhan Ijazah Sarjana Muda 2020.

“Alhamdulillah ini pencapaian terbaik saya dan pencapaian ini diharap dapat mengubah nasib keluarga saya walaupun ketika ini bekerja sebagai guru KAFA,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.


Dia adalah antara 3,045 graduan bagi tahun 2020, 2021 dan 2022 berjaya menamatkan pengajian di UNIMEL membabitkan tiga graduan Ijazah Doktor Falsafah, graduan Ijazah Sarjana (18), Ijazah Sarjana (616) dan Diploma (2,408).

Intan Syaqina berkata, dia berdepan tugas getir untuk melengkapkan tesisnya berikutan pada semester terakhirnya berdepan pula dengan wabak Covid-19.

Katanya, kecekalan dan semangat kentalnya bagi menyiapkan tesis berdepan tugas sukar kerana tidak dapat berjumpa pensyarah secara bersemuka disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Duduk di kampung berdepan masalah jalur lebar untuk saya mendapatkan maklumat bagi menyiapkan tesis tetapi itu bukan penghalang dan akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun setengah,” ujarnya.

Sementara itu bagi Siti Aishah Mohamad Poad, 21, dari Klang Selangor yang mengikuti Diploma Perundangan Syariah dianugerahkan Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma 2022.

Dia yang kini menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana juga dalam bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, ibunya menjadi suntikan semangat untuk dia cemerlang.

Katanya, ibunya, Nora Bani Abdul Rashid, 52, yang mengikuti Ijazah Sarjana Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di semester terakhir, menjadi pendorong untuk dia terus menyambung pengajian untuk bergelar peguam syarie.

“Ibu juga mengambil jurusan perundangan dan dia banyak membantu saya walaupun dalam bidang yang berbeza namun semangat kentalnya menyebabkan saya mahu terus belajar sehingga bergelar seorang peguam,” ujar anak kedua daripada empat beradik itu. – SM

(Visited 47 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button