Nasionalpilihan

RUU kawalan tembakau dibentang Jun ini

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibahaskan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat awal bulan depan.

Menurutnya, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa telah membawa perkara itu kepada Jemaah Menteri dan Kabinet telah bersetuju KKM membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama.

“Kita sedang tunggu tarikh daripada pihak Parlimen dan menjangkakan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama.

“KKM membawa banyak kertas penting pada Persidangan Dewan Rakyat bulan depan seperti kertas putih kesihatan, kertas putih vaksin dan yang paling menjadi tumpuan ramai adalah RUU kawalan merokok,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di Dewan Hang Tuah, Jalan Hang Tuah di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman.

Lukanisman berkata, RUU itu yang sebelum ini dikenali RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sudah dibawa ke Jawatankuasa Parlimen Khas pada sidang penggal Parlimen lalu untuk dipinda namun tidak sempat dibentangkan kerana pembubaran kerajaan.

Menurutnya, KKM telah mengadakan sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak seperti ahli Parlimen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri bagi mendapatkan pandangan berhubung pindaan tersebut.

Katanya, terdapat fasal dalam draf asal yang ditentang ahli Parlimen telah ditarik balik.

“Kita mengharapkan RUU ini dapat diluluskan dalam kedua-dua dewan pada Sidang Parlimen dan Dewan Negara nanti,” katanya.

Mengenai kawalan vape, Lukanisman berkata, buat masa ini tiada undang-undang atau peraturan untuk diikuti pemain industri, selain kerajaan tidak mempunyai kuasa bagi mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan vape.

Katanya, berdasarkan tinjauan Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi (NHMS) 2022, penggunaan vape dalam kalangan remaja dalam negara meningkat daripada prevalens 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.

Tambahnya, ketika ini, terdapat kelompongan apabila tiada sebarang perundangan yang dapat dijadikan panduan oleh perokok elektronik ini.

“Kita juga tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasa dan beri hukuman kepada penyalahgunaan vape sebab itu RUU ini sangat penting untuk membolehkan kita menutup kelompongan ini,” ujarnya. – SM

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button