fbpx
Nasional

Pindaan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk dimuktamad Jun

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mahu pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan memberi hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, pindaan hukuman tersebut juga diharap akan memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang terjejas akibat kecuaian pemandu mabuk.

Muhyiddin berkata, sebagai bapa dan ketua kerajaan, beliau memahami memahami keresahan rakyat dan keluarga mangsa pemandu mabuk yang mahu kerajaan bertindak tegas menangani isu tersebut.

“Sebagai respon kepada keresahan rakyat, saya telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Saya difahamkan pindaan akta ini akan dimuktamadkan pertengahan Jun depan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang,” kata Muhyiddin.


Menurutnya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 21 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dicatatkan sepanjang lima bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah itu, lapan mangsa telah kehilangan nyawa.

Muhyiddin berkata, statistik tersebut amat membimbangkan kerana jumlah yang direkodkan menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lepas.

Mengikut undang-undang sedia ada individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

“Pindaan ke atas Akta 333 diharap dapat menetapkan hukuman mandatori lebih berat dan setimpal terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan apatah lagi kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Saya juga berharap pindaan hukuman ini kelak akan memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang terjejas akibat pemandu mabuk,” kata Muhyiddin.-SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button