Sukan

Pertandingan sukan woodball atas talian diperkenalkan

Dua pemain sukan woodball daripada negeri Perlis iaitu Azizan Zainol dan Arif Fadilah yang terpilih mewakili negara masing-masing berjaya menjadi Johan dan Naib Johan dalam Pertandingan Persahabatan Sukan Woodball Antarabangsa Secara Atas Talian pada khamis malam, 12 Ogos 2021 baru-baru ini.

Azizan yang beregu bersama pemain dari Indonesia, Alviano Surya (Vino), berjaya menjadi Johan selepas menundukkan pasangan regu Arif dari Malaysia dan Tina Yu Cheng Si dari Taiwan dengan mata 6-5. Kedua-dua pemain Malaysia tersebut bermain di Dewan Majlis Sukan Negeri Perlis, Kangar.

Demikian menurut hebahan media Persatuan Woodball Negeri Perlis hari ini.

Perlawanan atas talian secara langsung itu turut melibatkan penyertaan sebanyak 28 peserta daripada negara Malaysia, Indonesia, Taiwan, Korea Selatan, China, Uganda, Hong Kong, Singapura, Thailand, Pakistan dan Kenya.

Sukan woodball mula diperkenalkan secara atas talian oleh Pertubuhan Woodball Antarabangsa (IWbF) sejak bulan Julai yang lalu dan pertandingan yang berlangsung semalam merupakan pertandingan kali kedua diadakan secara atas talian dengan melibatkan lebih daripada 10 buah negara.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan dua pemain negeri Perlis tersebut yang terus mengharumkan nama negeri dan negara di persada sukan woodball dunia. Apatah lagi negeri Perlis bakal menjadi tuanrumah Kejohanan Woodball Piala Dunia pada tahun hadapan setelah ditunda sebanyak dua kali sejak tahun lalu akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Baginda turut menitahkan agar semangat kesukanan tetap diteruskan walaupun dalam keadaan Covid-19 yang masih melanda, melalui inisiatif secara kreatif seperti permainan atas talian yang diadakan ini, dalam memastikan semangat pemain-pemain sukan woodball tidak luntur di samping tetap membina hubungan yang baik dengan pemain-pemain dari luar negara.

Sukan woodball secara atas talian ini hanya memerlukan rakaman secara langsung bersama pemain-pemain lain dan diadakan secara beregu dengan negara-negara lain, dan secara ringkasnya hanya memerlukan ruang yang kecil sahaja untuk bermain iaitu antara jarak 1 hingga 3 meter.

Sebagai rekod, permainan sukan woodball telah mula dimainkan secara fizikal di negeri Perlis dengan mematuhi SOP yang ketat memandangkan negeri Perlis telah memasuki fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang turut membenarkan aktiviti sukan dan riadah dijalankan, namun sebarang penganjuran pertandingan sukan secara fizikal masih lagi belum dibenarkan.

(Visited 418 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button