BeritaPolitik

Persepsi bakal lenyapkan Bersatu

DALAM sejarah negara, Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu, dilihat sebagai sebuah parti baharu yang paling berjaya menarik perhatian rakyat sehingga diberi kepercayaan menerajui kepemimpinan sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum lalu.

Kepercayaan yang diberikan rakyat dan parti-parti gabungan PH itu bukan sesuatu yang pelik berikutan Bersatu diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang negarawan yang telah terbukti berjaya mengangkat nama negara.

Dr. Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003, kini memikul tanggangjawab itu semula sejak Mei 2018.

Namun di sebalik kewibawaannya mengetuai barisan Kabinet, Ahli Parlimen Langkawi itu dikatakan berdepan dengan isu kekurangan pemimpin dalam kalangan ahli parti sendiri.

Keadaan itu memaksa beliau memangku tugas Menteri Pendidikan yang dilepaskan Dr. Maszlee Malik akibat dilanda kontroversi baru-baru ini.

Bagi sesebuah parti lebih-lebih lagi parti baharu, memiliki ‘wajah pemimpin’ amat penting dalam menentukan survival atau jangka hayatnya.

Malangnya, umum mengetahui bahawa Bersatu sangat bergantung kepada Dr. Mahathir. Hakikatnya ramai menjangkakan parti itu akan ‘hilang’ bersama ‘hilang’nya  Dr. Mahathir.

Survival parti semakin sukar apabila pemimpin-pemimpin muda yang sewajarnya menjadi barisan pelapis kepemimpinan turut terpalit dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Berita ‘penahanan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang juga
Ketua Armada Selangor baru-baru ini contohnya, menambah kesangsian orang ramai terhadap kepercayaan yang diberikan kepada Bersatu.

Walaupun Adhif Syan cuba mempertahankan dirinya yang didakwa ditahan dalam satu serbuan polis membabitkan kes dadah, tidak dinafikan ia sedikit-sebanyak turut menjejaskan imej parti.

Hakikatnya, sejak awal lagi, Bersatu telah diselubungi pelbagai dakwaan membabitkan beberapa tokoh dan pemimpinnya.

Bagi memastikan ‘nasi tidak menjadi bubur’ beberapa tindakan drastik dilihat perlu dilakukan.

Dalam hal ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya masih yakin parti itu mempunyai ramai pemimpin berkaliber dan berbakat.

Bagi beliau, bakat-bakat tersebut akan dapat dilihat sempena pemilihan parti tidak lama lagi.

Sementara itu, penganalisis politik tempatan, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, persepsi bukan sahaja mampu menaikkan imej sesebuah parti malah mengundang kepada kejatuhannya.

Justeru jelas beliau, keputusan dalam satu-satu pemilihan amat penting bagi menentukan persepsi itu berterusan atau sebaliknya.

“Pemilihan Bersatu juga dalam masa terdekat dan sebarang bentuk keputusan parti boleh mempengaruhi persepsi tersebut,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) ini turut mengingatkan pemimpin-pemimpin baharu agar berhati-hati dalam setiap tindakan.

“Ini kerana dalam politik, tidak ada kawan atau lawan yang tetap tetapi hanya kepentingan.

“Setiap tindakan mereka akan diawasi dan perwatakan diperhatikan oleh musuh politik sama ada dalam mahu pun luar parti,” katanya.

Bersatu dijadual mengadakan perhimpunan agung tahunan serentak dengan pemilihan parti pada 25 hingga 28 Jun ini.

Mungkinkah keputusannya nanti bakal merubah persepsi yang semakin menebal kini?

(Visited 87 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button