BanjirNasional

Kerajaan gerakkan 22,622 aset air, aktifkan JPBP hadapi Monsun Timur Laut

BERDASARKAN laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) memutuskan fasa peralihan monsun akan bermula pada pertengahan September sehingga November, diaktifkan segera untuk menghadapi Monsun Timur Laut.

Monsun Timur Laut dijangka bermula pada November ini sehingga Mac tahun depan di mana negeri-negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun yang akan bermula pada November sehingga Disember nanti.

Manakala Johor, Sabah dan Sarawak pula dijangka berhadapan dengan hujan lebat monsun bermula pada Disember sehingga Januari tahun depan.

Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar, Ketua Menteri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta agensi terlibat, hari ini.

“Secara keseluruhannya, seramai 79, 549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam usaha memantapkan persediaan Keluarga Malaysia, sebanyak 155 program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan 12,534 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Mesyuarat hari ini juga bersetuju supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan Pegawai Daerah diaktifkan segera dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan.

“Ini kerana JPBD mempunyai fungsi yang penting untuk melaksanakan kerja-kerja menyelamat serta penyampaian bantuan di lokasi bencana manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan JPBN menyelaras di peringkat Pusat serta negeri,” kata Ismail Sabri.

Bagi aspek pengurusan mangsa, Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) ujar beliau, telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.

Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS seperti penyediaan bilik mandi serta tandas.

Ismail Sabri juga berkaa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diarahkan supaya asrama-asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana berlaku, digunakan oleh orang ramai yang terjejas khususnya untuk memberi keselesaan kepada warga emas, anak-anak kecil dan wanita.

“JKM juga perlu menyediakan makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama, keperluan bayi dan warga emas seperti lampin pakai buang untuk mangsa bencana yang dipindahkan ke PPS,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, NADMA juga telah mengagihkan sebanyak 59,350 kit makanan dan 127,272 unit cubicle tent bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS dan kebajikan mangsa apabila berlakunya bencana.

“Dalam masa yang sama, JPBN dan JPB Daerah perlu bersedia lebih awal bagi memastikan bantuan bekalan sampai di semua lokasi yang terlibat bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya,” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana MTL 2022/2023 disalurkan kepada JPBN untuk kegunaan 160 daerah.

“Kerajaan turut memperuntukan sebanyak RM4.8 juta bagi menyediakan 320 buah bot fiber bersama dengan enjin untuk daerah-daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai initial responder ketika berlakunya bencana,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga menggerakkan 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi dari seluruh negara untuk menghadapi musim monsun ini.

“Semua aset ini perlu dikoordinasi dengan sebaik mungkin supaya kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, JPBN dan JPBD juga perlu memastikan sistem amaran awal bencana terutama di lokasi yang sering dinaiki air berfungsi dengan baik.

“Bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan,” jelas beliau.

Sementara itu, pengumuman berpindah akan turut dibuat oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa melalui sistem pembesar suara.

Pesan Perdana Menteri Ismail Sabri, “seluruh Keluaga Malaysia khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir diminta supaya sentiasa peka dengan amaran awal bencana dan berpindah dengan kadar segera sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa.

“Semua agensi terlibat khususnya di peringkat negeri dan daerah (lokasi bencana) diarah supaya memastikan kelancaran bantuan kepada Keluarga Malaysia yang terjejas dengan penyelarasan komunikasi yang cekap dan efisien.” – SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button