BeritaNasionalPendidikan

Persatuan mahasiswa boleh jadi mata, telinga KPDNHEP

Perkongsian maklumat tentang isu kepenggunaan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong aktiviti kepenggunaan yang dirancang oleh mahawiswa dan mahasiswi di universiti.

Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid berkata, di bawah KPDNHEP terdapat dua persatuan yang mana aktiviti kepenggunaannya melibatkan interaksi secara langsung dengan golongan belia iaitu Kelab Pengguna Sekolah (KPS) dan GPS.

“Melalui Majlis Perdana Gerakan Pengguna  Siswa (MPGPS) sebagai medium membincangkan isu-isu kepenggunaan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ia juga membina  hubungan lebih baik di antara pelajar  IPT dan KPDNHEP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, GPS juga menjadi medium untuk menyebarkan informasi kepenggunaan yang tepat kepada golongan pengguna muda.

Katanya, GPS merupakan satu entiti kumpulan berstruktur, berperlembagaan, berperaturan dan berkepimpinan.


Jelas beliau, GPS dianggotai pelajar-pelajar IPT yang mempunyai minat untuk bantu membantu dan berkongsi sumber dalam melaksanakan aktiviti kepenggunaan.

“Ia boleh menjadi mata dan telinga serta agen penyampai maklumat yang tepat kepada pengguna dan menjadi medium mendidik pengguna dengan aspek kepenggunaan,” ujarnya.

Rosol berkata, dua persatuan ini merupakan platfom terbaik untuk menggerakkan aktiviti advokasi kepenggunaan dalam kalangan belia khususnya mahasiswa dan mahasiswi yang akan menjadi pelapis kepada kepimpinan negara.

 Dalam kenyataan yang sama, beliau juga berpendapat, ahli GPS adalah duta kecil bagi KPDNHEP berperanan menyebar ilmu kepenggunaan serta meningkatkan kesedaran berkaitan hak-hak pengguna di kalangan pengguna.

“Peranan GPS sebagai entiti yang hampir dengan KPDNHEP adalah untuk mendapatkan maklumat yang sahih seperti isu tekanan peningkatan harga barang dan kos sara hidup, isu-isu penyelewengan dan ketirisan subsidi, keberadaan bekalan barang keperluan di pasaran, penjualan barangan tiruan, pemulihan ekonomi negara dalam pasca pandemik Covid-19.

“GPS perlu memberi kesedaran dan didikan kepada rakyat mengenai usaha-usaha kerajaan dalam mendepani situasi getir ini” katanya.

 Untuk rekod, Malaysia antara negara paling tinggi berbelanja untuk subsidi. Malah, sebagaimana dinyatakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul baru-baru ini, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan negara berjumlah RM77.3 bilion setakat 2022 dan tertinggi dalam sejarah negara.

Jika dilihat pada pecahannya pula, sejumlah RM37.7 bilion, RM4 bilion untuk minyak masak 1kg dan RM9.7 bilion untuk tepung dan elektrik serta bil subsidi untuk mengurangkan bebanan rakyat.

Fakta-fakta sebegini perlu diambil tahu serta diuar-uarkan kepada rakyat dan inilah antara peranan yang boleh dilaksanakan GPS untuk membantu kementerian.

Di peringkat KPDNHEP, kata Rosol, usaha untuk memperkasakan program advokasi kepenggunaan sentiasa menjadi keutamaan.

“Pelbagai program advokasi telah direncana dan jalinan kolaborasi strategik dengan agensi lain sentiasa dieratkan melalui program Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan Program Prosenium Pengguna IPT 2022.

“KPDNHEP bertekad untuk terus membantu pengguna mendalami dan memahami isu-isu kepenggunaan sekaligus membantu mempraktikkan hak hak pengguna melalui saluran yang betul,” katanya. – SM

 

 

(Visited 73 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button