MahkamahNasional

Isteri wartawan Pakistan mohon perintah habeas corpus dan injunksi interlokutori

ISTERI kepada wartawan Pakistan yang hilang Syed Fawad Ali Shah memohon perintah habeas corpus untuk suaminya.

Syeda, menerusi peguam caranya, S Karthigesan dan R Kengadharan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

Saman itu menamakan kerajaan, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud; Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani; kerajaan Pakistan; wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur, Thomas Albrecht; Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail serta seorang pegawai polis berpangkat DSP yang dikenali sebagai Kanden.

Syeda dinamakan sebagai plaintif pertama manakala Fawad plaintif kedua.Ads by

Pada sidang media hari ini, peguam Syeda berkata, plaintif memohon perintah habeas corpus agar pihak berkuasa mengemukakan Fawad dalam tempoh 24 jam dari perintah mahkamah.

Sebagai alternatif, jika Fawad telah dihantar pulang ke Pakistan, mereka meminta pihak berkuasa membawanya pulang ke Malaysia.

Mereka juga memohon injunksi interlokutori terhadap kerajaan untuk menghalangnya daripada mengusir Fawad dari Malaysia sehingga mahkamah mengeluarkan perintah selanjutnya.

Plaintif juga memohon perintah interim untuk Syeda dan abangnya kekal di Malaysia atas perbelanjaan munasabah kerajaan sehingga penentuan muktamad kes itu.

Peguam Syeda mengesahkan bahawa wanita tersebut dan abangnya telah dihantar pulang ke Pakistan selepas tamat tempoh visa mereka pada 16 Januari lalu.

“Keutamaannya di sini ialah keselamatan (Syeda). Kami dapat tahu bahawa kerajaan Pakistan telah cuba menghubungi Syeda di kediamannya di sana,” kata Karthigesan.

Kengadharan menambah, percubaan untuk meminta pihak berkuasa mengemukakan bukti bahawa Fawad telah dihantar pulang ke Pakistan tidak dilayan.

Plaintif juga meminta mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa defendan telah melanggar hak asasi manusia seperti yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mereka juga mendakwa defendan telah melakukan jenayah bawah Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).

Selain itu, mereka mendakwa Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan kebebasan asas lain menurutnya telah dilanggar.

Fawad, 41, yang berada dalam buangan di Malaysia selama lebih 10 tahun, hilang sejak 23 Ogos tahun lepas.

Pemegang kad pelarian UNHCR itu mencari suaka di Malaysia atas dakwaan penganiayaan di Pakistan berhubung artikel yang diterbitkan dalam beberapa akhbar harian Inggeris di sana berkaitan dakwaan rasuah dalam kerajaan.

Awal bulan ini, Saifuddin berkata, Fawad telah dihantar pulang pada Ogos atas permintaan kerajaan Pakistan.

Saifuddin berkata, walaupun media Malaysia menyifatkan Fawad sebagai wartawan, pihak berkuasa Pakistan mendakwa dia bekas anggota polis yang menghadapi tindakan tatatertib. – FMT -SM

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button