NasionalNegeriPendidikan

UniMAP anjur sambutan Tahun Baharu Cina raikan pelajar Tionghua

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) tidak ketinggalan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat universiti bagi meraikan pelajarnya dari kaum Tionghua sekaligus menyahut seruan kerajaan bagi mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.

Majlis yang dianjurkan di pekarangan Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelajar Melayu, India, Kadazan, Bidayuh dan lain-lain kaum.

Zaliman bersama pelajar menyediakan Yee Sang pada majlis sambutan Tahun Baru Cina.

Naib Canselornya, Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli berkata, UniMAP sendiri mempunyai warga yang berbilang kaum. Justeru setiap perbezaan budaya dan kepercayaan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk saling menghormati.

Ujar beliau, sebagai negara yang berbilang kaum, rakyat negara ini khususnya warga UniMAP amat bertuah kerana dapat menyambut pelbagai perayaan yang membuktikan Malaysia bukan sahaja kaya dengan khazanah alam tetapi keamanan dan kebudayaan.

“Keadaan ini akan membuat kita lebih menghargai serta memerlukan satu sama lain sekaligus melahirkan sifat bantu membantu dalam banyak perkara khususnya sepanjang pelajar mengikuti pengajian di universiti ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis anjuran Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar.

Hadir sama, Pengarah P3P, Prof Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK), Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA), Prof Madya Dr Che Zulzikrami Azner Abidin dan Pengarah program, Mohamad Hafiz Mohamad Shokri.

Selain jamuan, turut diadakan kuiz berkaitan perayaan Tahun Baharu Cina serta persembahan kebudayaan oleh pelajar dan kakitangan.

SEORANG pelajar menerima sebiji limau mandrain daripada Zaliman sebagai tradisi masyarakat Tionghua yang meraikan sambutan Tahun Baru Cina di UniMAP.

Sementara itu, seorang pelajar tahun satu Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia, Bee Kah Ee berkata, dia tidak menyangka sambutan Tahun Baharu Cina di UniMAP juga meriah dan rakan-rakan berbilang kaum yang lain turut sama meraikannya.

“Saya juga tertarik dengan persembahan tarian iaitu tarian kipas dan nyanyian lagu Cina yang bukan sahaja dipersembahkan rakan-rakan Cina tetapi rakan-rakan lain yang berbeza kaum,” katanya.

Seorang lagi pelajar tahun dua, Ang Sian Feng berkata, majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2023 peringkat UniMAP kali ini sangat menarik dengan adanya kuiz, persembahan pelajar dan gimik pelancaran bagi memperkenalkan budaya kaum Cina kepada pelajar-pelajar berbangsa lain.

“Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan kami, malah dapat memberi lebih banyak pengetahuan kepada rakan-rakan daripada kaum lain mengenai kebudayaan orang Cina menerusi aktiviti kaligrafi Cina, hidangan Yee Sang dan pemberian limau mandarin oleh Naib Canselor sendiri,” katanya. – SM

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button